Mogok lapar desak MB Pahang bayar saman-Harakahdaily
Sepuluh pemegang saham sebuah syarikat pembalakan, Seruan Gemilang
Makmur Sdn Bhd hari ini memulakan mogok lapar sebagai protes terhadap
kegagalan Kerajaan Negeri Pahang membayar ganti rugi kepada mereka.
Mereka
bertekad akan meneruskan mogok lapar di hadapan sebuah tokong di
Segambut itu sehingga Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob
melunaskan bayaran saman berjumlah RM70 juta.
Seruan Gemilang memfailkan saman tersebut terhadap Kerajaan Negeri
Pahang dan Pengarah Perhutanan Negeri pada Disember 2002 kerana didakwa
melanggar perjanjian kontrak konsesi pembalakan berhubung pengeluaran
kayu balak di atas tanah milik Umno di Mukim Bebar, Daerah Pekan seluas
4,000 hektar.
Seruan Gemilang menamakan Kerajaan Negeri Pahang sebagai defendan pertama dan Pengarah Perhutanan Negeri, defendan kedua.
Salah seorang pemegang saham, Johnson Chong pada sidang media mereka
berkata, mereka terpaksa membuat tindakan nekad itu bagi menuntut
keadilan dan hak mereka.
"Kami tidak mementingkan jumlah saman ini tapi apa yang kami mahukan
ialah keadilan kerana kami mengikut undang-undang dalam saman ini," kata
beliau yang sudah bersedia menghadapi sebarang kesan daripada mogok
tersebut.
Seruan Gemilang ketika ini mengalami masalah yang kritikal dari segi
kewangan untuk meneruskan operasi mereka manakala para pekerja sudah
ramai yang berhenti akibat tidak mendapat gaji.
Dalam pernyataan tuntutan, Seruan Gemilang mendakwa pada 31 Julai
2000, defendan kedua (Pengarah Perhutanan Negeri) memberi kelulusan
kepadanya bagi mengeluarkan kayu balak dari mukim itu bagi kawasan
seluas 3,200 hektar.
Pada 13 Mei 2002, defendan kedua telah memberi kelulusan kepada
Seruan Gemilang bagi mengeluarkan kayu balak dari baki kawasan seluas
800 hektar di tanah yang sama. Ini bermakna Seruan Gemilang telah diberi
kelulusan untuk mengeluarkan kayu balak dari kawasan seluas 4,000
hektar.
Bagaimanapun defendan kedua hanya membenarkan Seruan Gemilang
mengeluarkan kayu balak dari kawasan seluas 2,800 hektar sahaja manakala
baki selebihnya telah diberikan kepada beberapa pihak ketiga untuk
mengeluarkan kayu balak dari tanah tersebut.
Kedua-dua defendan dalam pernyataan pembelaan mereka menyatakan
bahawa Seruan Gemilang hanya diberi lesen untuk menjalankan kerja
pembalakan secara pemindahan bagi kawasan seluas 2,800 hektar sahaja
manakala bagi baki 1,200 kektar itu pula, defendan mendapati Seruan
Gemilang tidak berminat untuk menjalankan kerja pembalakan di situ.
Mahu Adnan bertanggungjawab
Seorang lagi pemegang saham, Ramli Sulaiman, 42, mahu Adnan
bertanggungjawab terhadap kegagalan itu dan menuntut hak mereka
ditunaikan segera.
"Saya sangat tidak puas hati dengan sikap Menteri Besar yang tidak
bertanggungjawab. Beliau janji nak bayar (saman) tapi sampai hari ini
tidak bayar-bayar.
"Kami jadi susah disebabkan kerajaan negeri mungkir janji dan saya
mahukan hak saya sebanyak RM3.5 juta daripada RM70 juta itu," kata
beliau yang merupakan bekas anggota polis di Unit Tindakan Khas (UTK)
Bukit Aman dan bekas pengawal peribadi Sultan Pahang.
Beliau juga mahu Adnan meletakkan jawatan kerana gagal menunaikan janji dan menyusahkan rakyat.
"Kalau tak mampu nak pikul tanggungjawab, letak sahaja jawatan. ramai lagi yang layak jadi Menteri Besar," katanya.
Sepanjang mogok lapar itu, mereka tidak akan menyentuh sebarang makanan selain minum air kosong sahaja.
Turut bersama mereka pagi tadi ialah Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan