Selasa, 15 Mac 2011

'DNA' tu Datuk Najib Altantuya

'DNA' merujuk kepada Najib bukannya Anwar , dakwa PKR-Themalaysianinsider

PKR, gandingan Pakatan Rakyat, akan menghidupkan kontroversi kes bunuh Altantuya Shaaribuu menerusi kempen di seluruh minggu depan untuk menyerang balas gesaan sekumpulan NGO yang mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sampel DNA.

Ketua Umum Pakatan Rakyat itu menolak gesaan kumpulan tersebut sambil berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang seharusnya patuh untuk menyerahkan sampel DNA beliau dalam kes pembunuhan model Mongolia itu.

Begitu juga dalam kes dakwaan membabitkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail pula berkata partinya akan memulakan kempen DNA mereka minggu depan untuk membalas demonstrasi yang diadakan pertubuhan-pertubuhan terbabit semalam.

“DNA”, kata beliau adalah singkat kepada “Datuk Najib Altantuya”.

“Akan ada siri ceramah. Kami akan edarkan risalah untuk menjelaskan apa yang berlaku dalam kes DNA dan saya merujuk kepada Datuk Najib Altantuya kerana DNA tidak merujuk kepada kes Anwar,” kata beliau.

“Kami sudah sediakan kesemua dokumen yang relevan,” katanya lagi.

Anwar juga berkata beliau tidak takut untuk menyerahkan sampel DNAnya tetapi khuatir tentang kaedah digunakan oleh pendakwa dalam menguruskan bukti kes.

“Mereka mendakwa saya takut tetapi ia hanya pedaya politik jahat. Ini permainan mereka dan sekarang mereka bergantung pada dubur seorang untuk mempertahankan kuasa politik,” katanya.

Semalam, kira-kira 50 orang yang mewakili 30 badan bukan kerajaan berhimpun bagi mendesak Anwar menyerahkan sampel DNA beliau berhubung kes liwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) Hamidzun Khairuddin berkata Anwar tidak harus menggunakan jawatan beliau sebagai Ketua Pembangkang untuk meremehkan peraturan undang-undang demi mengaburi mata rakyat.

“Kita juga mendesak badan kehakiman supaya tidak ‘double standard’ dalam isu ini. Kami rasakan bahawa keadilan tidak hanya diberikan pada Orang Kena Tuduh tetapi juga keadilan diberikan pada mangsa iaitu Saiful Bukhari yang menjadi mangsa liwat, seks di luar tabie ini,” katanya.

Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor Abdullah Mansor pula berkata Anwar perlu tampil menyerahkan sampel DNA beliau jika merasakan dirinya difitnah.

Perbicaraan kes liwat itu kini berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan