Video Seks :Siapa Perangkap Siapa?-Harakahdaily
Ahmad Lutfi Othman |
Ketika menerima SMS memaklumkan video lucah seorang pemimpin kanan pembangkang ditayangkan kepada beberapa editor dan wartawan kanan akhbar di Hotel Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur, 21 Mac lalu, saya berada di rumah, sedang berbincang isu-isu kebudayaan serta masalah besar Dewan Bahasa dan Pustaka, bersama-sama tiga aktivis Paksi (Seniman Paksi Rakyat), Dinsman, Kassim Muhamad dan Hasni Abas. Segera saya memanjangkan SMS itu kepada kartunis Zunar, sambil bertanyakan siapa tokoh berkenaan, meskipun sudah dapat mengagak satu lagi "percaturan" politik yang memualkan bakal terhidang. "Dulu mereka dah buat benda hampir sama," jawab Zunar, selepas mengesahkan Anwar Ibrahim yang menjadi target belasahan. Sejak 1998, semata-mata demi kuasa politik, isu-isu seks yang mengaibkan telah direkayasa semahunya, dan dimuntahkan secara terbuka, dengan mengetepikan adab dan etika. Kuasa seolah-olah mewajarkan segalanya. Begitu dahsyat dan memalukan sekali apabila ia khusus membabitkan dunia politik Melayu. Yang sedihnya, babak-babak yang mempersudutkan orang Melayu ke penjuru yang cukup kelam itu sentiasa berkembang segar bagaikan ada sutradara khas di sebalik tabir. Apakah Melayu begitu obsess dengan kuasa sehingga sanggup menelanjangkan maruah dan kehormatan bangsa di pentas umum, hanya demi mempertahankan atau merebut sekelumit kuasa? "Bukankah Najib sudah beri amaran akan pertahankan Putrajaya hingga ke titisan darah terakhir? Saya bimbang ini salah satu gejalanya," saya meluahkan kepada Kassim. "Cukup dahsyat!" jawabnya. "Pembunuhan watak" sudah menjadi lumrah. Dominasi politik rimba menjengkelkan sekali. Soal jenayah qazaf langsung tidak diambil peduli. Seorang rakan lain menimbulkan: "Apa reaksi umat Islam dengan adegan ulang-tayang ini? Cukupkah sekadar menggeleng kepala sambil merungut? Tidak adakah langkah berkesan untuk menamatkannya?" Saya cuba mencungkil kandungan video haram itu daripada wartawan Harakah yang turut diundang. Sengaja saya mengusiknya bahawa dia telah melakukan kesalahan menonton bahan terlarang di bawah Akta Penapisan Filem dan Kanun Keseksaan. Beliau langsung tidak menduga akan menonton tayangan lucah di sebuah bilik di hotel mewah (tempahannya berharga RM1,350) dengan kawalan ketat (mungkinkah anggota polis terbabit?) sebelum dibenarkan masuk. Petang itu, selepas "menjelajah" mencari bahan berkaitan di internet, saya rasa degup jantung agar luar biasa. Dada sesak. Apabila bangun seperti mahu tumbang. Saya tidak pasti sama ada ia kesan daripada "angkara" Dato' T atau kerisauan saya dengan sisi gelap dunia siasah kita. Agak lama juga saya mengambil masa untuk kembali normal. Malamnya, saya tidak dapat menulis kolum "komentar" dalam Harakah walaupun rangkanya sudah siap. Ingatan cepat terhimbau tragedi September 1998. Lebam mata tidak mencukupi. Semuanya mahu dilondehkan. Ia diikuti perbicaraan di mahkamah yang menyaksikan segala lendir, bulu dan tilam. Saya, seperti majoriti rakyat Malaysia lainnya, mahu episod hitam-pekat ini dikuburkan selamanya. Cukuplah keaiban bangsa diperdagangkan. Rupanya igauan buruk itu menjelma kembali ketika isu liwat masih riuh-rendah dibahaskan. Tanpa perlu menunggu lama, beberapa kejanggalan dalam video itu dapat dikesan. Anwar dikatakan mempunyai alibi yang kukuh terhadap masa adegan seks itu dirakam. Keraguan lain turut dibangkitkan, termasuk bentuk fizikal "Anwar". Malam itu, melalui siaran berita TV, Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein dalam satu sidang media bersama Ketua Polis Negara, Ismail Omar selain menafikan penglibatan polis dengan video itu, sudah "menghukum dan mengecam" Anwar. Beberapa bekas Ahli Parlimen KeADILan yang "khianat" pula, dan yang paling jelas, Zulkfli Nordin, tanpa segan-silu mengesahkan Anwar terbabit (melanggan pelacur) seraya menyeru agar Ketua Pembangkang itu bertaubat. Sepatutnya Hisham menangguhkan dulu kenyataan politiknya sebelum siasatan lanjut dibuat. Apakah beliau sudah menonton rakaman lucah itu sehingga berani membuat kesimpulan? Sebagai menteri yang menjaga hal ehwal polis, beliau sepatutnya melihat daripada sudut keselamatan negara dan aspek undang-undang yang telah dilanggar. Melihat mudahnya dakyah terbaru ini disanggah, agak ramai yang mula berbicara tentang konspirasi baru di sebalik video berkenaan. Ada yang merasakan pihak dalaman Umno sendiri yang mahu mensabotaj Najib Razak. Soalnya, jika terbukti nanti pimpinan tertinggi Umno mendalangi pembikinan video itu, maka yang bakal menerima padahnya bukan sekadar Najib, tetapi BN seluruhnya. Berita TV 22 Mac pula menyiarkan kenyataan terbaru Zulkifli dan rakan karibnya Zahrain Hashim. Sudah terbalik. Seperti KeADILan pula yang dituduh "merekayasa" video itu bagi mengalih tumpuan umum kepada isu DNA. Dalam blognya, Dr Khir Toyo merakamkan: "Justeru, apakah kita mahu menolak kemungkinan video ini merupakan satu strategi politik Pakatan Rakyat membersihkan Anwar?" Banyak lagi yang dapat kita saksikan aksi-aksi menarik (dan pelik) dalam tempoh terdekat ini. Ketika mahu mengakhiri tulisan ini, saya menerima SMS Kassim: "...Apakah kita masih diam, bisu dan lihat semuanya berlaku di depan mata kita? Orang-orang ini mesti kita kita sanggah, tentang dan halau .... Saya rasa betapa aibnya jadi Melayu. Dah tak tahan lagi."-Harakahdaily. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan