Rabu, 9 Februari 2011

Suleiman barua Israel

WikiLeaks dedah talian panas pengganti Presiden Mesir

KAHERAH: Fail sulit diperoleh WikiLeaks mendedahkan Naib Presiden baru Mesir, Omar Suleiman, mempunyai ‘talian panas’ rahsia dengan Tel Aviv dan menghubungi rejim Zionis itu setiap hari.

Suleiman yang dijangka ramai akan menggantikan Hosni Mubarak sebagai Presiden ialah calon pilihan Israel, dedah pegawai Tel Aviv kepada pegawai Washington pada 2008, kata fail sulit berkenaan.

Bekas ketua risik rejim Mubarak itu yang memainkan peranan utama dalam rundingan damai Palestin-Israel, pernah mencadangkan tentera Yahudi menceroboh Mesir. Butiran itu terkandung dalam fail sulit diperoleh laman web WikiLeaks dan diserahkan kepada akhbar Britain, The Daily Telegraph.
Suleiman kini berunding dengan kumpulan pembangkang dan penunjuk perasaan bagi menyelesaikan kemelut politik negara itu selepas rakyat membuat bantahan di bandar besar sejak dua minggu lalu menuntut Mubarak berundur.

Sabtu lalu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton memberi sokongan kepada Suleiman untuk mengetuai peralihan ke era demokrasi.

Dokumen sulit dari Kedutaan AS di Kaherah dan Tel Aviv mendedahkan kerjasama rapat antara Suleiman dengan kerajaan AS dan Israel. David Hacham, penasihat kanan di jabatan pertahanan (Pentagon) memberitahu pegawai Amerika bahawa Israel berharap Suleiman dapat menggantikan kepemimpinan sekarang.

“Hacham memberi pujian melambung tinggi kepada Suleiman, bagaimanapun memberitahu hubungan baik Pentagon dengan Perkhidmatan Perisikan Am Mesir sekarang digunakan setiap hari,” kata kabel yang dihantar dari Kedutaan Amerika di Tel Aviv.
“Hacham memberitahu Israel percaya Suleiman bakal menggantikan Mubarak sekurang-kurangnya sebagai presiden sementara jika beliau meninggal dunia atau tidak mampu,” kata nota bertarikh Ogos 2008 itu.

Dokumen itu turut mendedahkan Suleiman mahu kumpulan Palestin, Hamas disisihkan dan berkata, Gaza harus ditekan agar kelaparan tetapi tidak kebulur.

“Kita mempunyai masa yang suntuk untuk mencapai kedamaian,” Suleiman dipetik memberitahu diplomat AS.

“Kita harus bangun pada waktu pagi tanpa sebarang berita mengenai keganasan, letupan dan tidak ada sebarang berita mengenai kematian,” kata naib presiden berusia 75 tahun itu yang adalah penganut Kristian Koptik. – Berita harian online/Agensi Egyptian vice-president said the alternative to dialogue is a coup. [EPA] Baca di sini.

Hari ini dah masuk hari ke 16 demontrasi anti regim Mubarak dan konco-konconya.Mari kita sama-sama tengok siapa yang akan mengalah.Adakah Diktator Mubarak yang akan mengalah dengan letak jawatan atau para demontrasi yang tidak berganjak mahu berundur selagi Mubarak tidak letak jawatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan