Sabtu, 26 Februari 2011

'Gaddafi akan bunuh diri atau dibunuh'

Seorang menteri kanan Libya yang berpaling tadah dan menyertai penentang meramalkan pemimpin negara itu, Muammar Gaddafi, tidak mungkin menyerah kalah menyebabkan beliau sama ada 'akan dibunuh atau membunuh diri'.

Menteri Dalam Negeri Libya, Abdel-Fattah Younis al-Obeidi, sudah meletakkan jawatan dan menyertai ‘revolusi popular’ yang bermula di negara itu minggu lalu.
Beliau meramalkan kemenangan rakyat tetapi menegaskan, Gaddafi merancang serangan besar-besaran ke atas orang awam. Menteri itu berpaling tadah selepas mengetahui hampir 300 orang awam yang tidak bersenjata dibunuh di Benghazi sejak beberapa hari lalu.

Dalam satu temuramah, Obeidi berkata: “Gaddafi memberitahu saya bahawa beliau merancang menggunakan pesawat ke atas penduduk di Benghazi dan saya berkata kepadanya tindakan itu akan menyebabkan beribu-ribu orang terkorban.”

Obeidi menyatakan sokongannya kepada rakyat yang menyertai revolusi itu dan menegaskan mereka akan memperoleh kemenangan dalam ‘beberapa hari atau jam’.

Beliau juga menyeru pasukan keselamatan Libya agar menyertai penentangan itu.

Obeidi adalah seorang lagi pemimpin kerajaan Libya yang meninggalkan rejim Gaddafi selepas peletakan jawatan sekumpulan duta dan diplomat sebagai bantahan kepada keganasan berterusan yang dilakukan kerajaan Tripoli ke atas penduduk bermula 17 Februari lalu.
Pertumpahan darah berterusan selepas sekurang-kurangnya lima terbunuh dalam kejadian terbaru militia Gaddafi menembak penunjuk perasaan yang keluar daripada beberapa masjid di ibu negara.

Penunjuk perasaan melaungkan nama Gaddafi berpusu-pusu keluar dari masjid dekat Dataran Hijau selepas solat Jumaat dan berdepan askar dan anggota militia.
Tembakan juga dilepaskan dari atas bumbung bangunan dekat dataran itu. -Berita harian online/agensi.

File 10486

1 ulasan:

  1. Misai Merah boleh tak cari berita dari sumber lain juga yang bukan agen zionist atau USA. Kalangan pelajar di Tripoli memaklumkan tiada apa apa pertumpahan darah kecuali Benghazi yang letaknya 1,000 km dari Tripoli. Disana tu kebanyakkan adalah penyokong kuat Kerajaan Beraja di Libya dahulu - Sultan Idris. Benghazi dulunya adalah ibukota Libya tetapi telah berubah ke Tripoli. Jangan percaya bulat bulat berita AP, CNN, Utusan, Bernama, Aljazeera dan selain nya sahaja.

    BalasPadam