Profesor UM:'Pengajian sejarah kita sebenarnya silap'-Minsider
Sementara polemik mengenai sejarah dan pejuang kemerdekaan menjadi
kontroversi ketika menjelang sambutan Hari Kemerdekaan baru-baru ini,
seorang ahli akademik berkata, pengajian sejarah di negara ini
sebenarnya “silap.”
Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya menegaskan,
rakyat negara ini tidak mengikuti proses pembelajaran sejarah secara
menyeluruh dan “kita tidak memahami sejarah itu sendiri dari peringkat
awalnya.”
“Sejarah ini ibarat mumia, masyarakat kita tidak melihat mumia itu
secara keseluruhan, sebaliknya hanya melihat tunggul mumia itu sahaja,”
kata beliau pada forum anjuran Akademi Pak Sako di bawah tajuk “Malaysia
Dan Sejarah Yang Belum Selesai” di sini malam tadi.
“Kita harus melihat sejarah secara makro, secara keseluruhan sejarah,
bukan hanya melihat satu petikan kecil di antara keseluruhan sejarah
dan kita mentaksirkan itu adalah sejarah secara makronya,” kata beliau
lagi.
Sambil menjelaskan sejarah adalah pemikiran yang akan tetap membawa
ke akhir zaman, beliau turut menyangkal dakwaan sesetengah pendapat dan
pendirian Majlis Profesor Negara (MPN) yang menyatakan dengan lantang
Tanah Melayu tidak pernah dijajah.
“Saya minta maaf, saya bukan menentang, tapi saya mengkritik pendapat
sedemikian. Tanah Melayu sebenarnya adalah tanah jajahan British, yang
tidak dapat disangkal lagi,” katanya yang turut mendapat jolokan
“Profesor Google” negara ini.
“Ketaksuban seorang sejarawan itu sendiri sebenarnya satu kesilapan,
saya menolak seseorang individu itu sebagai sejarawan tulen sekiranya
mereka lebih taksub kepada seorang tokoh berbanding melihat secara
keseluruhan berkenaan tokoh itu,” ujarnya lagi.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh aktivis Hishamuddin Rais, Ahli
Parlimen Shah Alam Khalid Samad, penulis dan budayawan Hasmi Hashim, dan
juga Timbalan Presiden PKR Azmin Ali sebagai ahli panel.
Penganjur berkata forum itu diadakan untuk memupuk budaya diskusi
secara sihat dan beretika di kalangan masyarakat khususnya anak-anak
muda dan menggalakkan perbincangan isu-isu yang dilihat penting dalam
konteks Malaysia dengan merentasi latar bangsa, agama dan fahaman
politik.
Selain itu, forum ini akan turut membincang dan mengupas pelbagai
persoalan sejarah yang selama ini menjadi subjek perbualan dan
perdebatan harian rakyat Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan