Ini apa yang diemailkan ke dalam blog aku. Aku cuma paste kan saja tanpa sebarang edit oleh seorang pengirim yang bernama Azman daripada Shah Alam. Apa yang disiarkan ini bukan pendapat dan buah fikiran aku.
Soal-jawab berpoligami.
S: Ustaz, Suami saya ingin berpoligami ustaz, apa kurangnya saya ustaz
sehingga dia nak poligami lagi. Tak cukup satu, dia nak tambah isteri
pula
J: Tujuan berpoligami tidak semestinya hendak menunggu kekurangan
isteri barulah boleh berpoligami. Antara tujuan murni berpoligami
ialah suami nak ikut apa yang Tuhan anjurkan di dalam Al-Quran. Sebab
nak tegakkan sunnah Rasulullah. Sebab nak ikut tradisi orang soleh.
S: Tapi ustaz, yang ini nak ikut sunnah, yang lain tak pula ikut
J: Yang dia sembahyang, puasa tu kan dia dah ikut sunnah. Bila dia
menutup aurat, menuntut ilmu, berniaga tu ikut sunnah juga. Jadi
jangan mudah-mudah cakap suami tak ikut sunnah.Jadi bila dia nak
tegakkan sunnah yang poligami ini, itu tak sepatutnya kita halang.
S: Yelah ustaz, Masalahnya bolehkah dia tu adil?
J: Jangan kita sebut soal adil dahulu, sebab kita tak tahu lagi.
Patutnya kita berbaik sangka dengan Tuhan moga Tuhan beri kekuatan
kepada suami kita menjadi orang yang adil. Kemudian daripada itu,
tugas kita pula membantu suami menjadi adil. Bukan kita main lepas
tangan. Mungkin kita nak tutup kelemahan kita, kita tuding jari suami
tak adil sedangkan dia belum lagi berpoligami, sudah kita label dia
sebagai tidak adil dalam berpoligami. Sebaiknyalah kita menyebut kita
lemah dan tak mampu nak berpoligami daripada terus menghalakan
kerisauan kepada suami. Patutnya kita halakan pada diri, masalah aku
bagaimana? Seperkara yang kita perlu ingat, soal adil ni, ada seorang
isteri kena adil. Dua isteri pun kena adil. Soal adil ini luas, dan
tak perlu tunggu poligami baru timbul soal adil.
S: Bukan apa ustaz, saya dah sayang pada dia. Tak gamak saya nak
lepaskan dia pada orang lain.
J: Nak betulkan sedikit..Bukan lepaskan terus. Ia sekadar berkongsi
kasih sayang. Kalau dulu kita seorang sahaja yang menyayanginya atas
nama isteri. Tetapi kali ini sudah ada orang lain, yang juga
menyayanginya atas nama isteri. Nak tanya, apa erti sayang? Sayang
ertinya pengorbanan. Jangan sebut sayang atau cinta selagi tidak
berkorban. Sanggupkah kita mengorbankan kasih kita itu? Kalau boleh,
barulah bermakna sayang kita. Seperkara lagi, erti sayang itu ialah
bila kegembiraan dia juga menjadi kegembiraan kita. Kesedihan dia pula
menjadi kesedihan kita. Patutnya hati kita selari dengan suami kita.
Kalau suami kita nak berpoligami, tumpang gembiralah. Itu kesukaan
suami kita dan syariat pun membenarkannya. Tapi tak nafilah, yang lain
mungkin senang. Tapi bab ini susah sedikit.
S: Saya bimbang ustaz dengan isu yang digembar-gemburkan dalam akhbar
tentang lelaki yang berpoligami menganiaya isteri.
J: Jangan sebut begitu, sekali lagi ditekankan di sini, berbaik
sangkalah dengan Tuhan. Jangan kita samakan nasib kita dengan orang
lain. Bergantung haraplah dengan Tuhan. Yakinlah kita dengan Tuhan,
Dia yang menentukan segalanya. Oleh itu, mintalah kebaikan dari Dia.
Tambahan pula, kisah rumahtangga porak peranda tak semuanya berlaku
pada poligami. Yang tak poligami pun biasa kita dengar, porak peranda
juga. Tinggal lagi, akhbar ni suka highlight yang poligami sahaja.
Bahkan banyak kes yang tak poligami, suami menganiaya isteri. Ini tak
dipaparkan.
S: Dengan saya seorang pun, dia susah ustaz. Jadi macammana poligami
ni, takkah nanti lagi susah hidup dia.
J: Itulah yang disebutkan tadi, segalanya dari Tuhan. Yang mula-mula
Puan kahwin dengan dia dulu, ada tak fikir tentang hidup susah.
Mestilah atas dasar yakin yang boleh hidup senang. Segalanya ketentuan
Tuhan. Rezeki itu dari Tuhan. Yang ibu-ibu boleh melahirkan anak,
kerana mereka yakin rezeki Tuhan pada anak-anak. InsyaAllah, ada
rezeki untuk orang yang berpoligami. Sejarah juga membuktikan
sahabat-sahabat dan para tabiin berpoligami tetapi mereka tidaklah
mati kebuluran kerana berpoligami. Susah senang ni bukan pada ukuran
poligami. Ada yang isteri seorang pun merempat juga. Sebaliknya ada
juga yang isteri 4, boleh hidup senang. Tak perlu tunggu dia gaji
RM10,000. Memang Tuhan dah janjikan sebegitu.
S: Baiklah ustaz, tapi apapun dia kena minta izin saya dahulu. Saya
isteri pertama dia, kalau saya tak izinkan, mana boleh dia poligami.
J: Itu undang-undang syariah negeri tapi tak ada sebut pun dalam
Al-Quran mahupun hadis. Soal keizinan tak timbul sebab dalam Quran,
Allah dah izinkan. Rasulullah pun dah izinkan malah diamalkannya pula.
Jadi, siapa kita? Takkan kita pula tak izinkan? Boleh nampak tak?
S: Memang berat ustaz. Baiklah, Saya mengaku saya tak mampu menghadapi
semua ini.
J: Inilah jalan untuk wanita seperti Puan meningkatkan darjat Puan.
Kalau setakat ada suami dan Puan pun pergi kerja balik kerja, mungkin
hidup Puan tak ada banyak ujian. Tapi bila poligami, Puan kena banyak
mujahadah.
Maksudnya ada ujian. Puan ada rasa tercabar. Puan perlu banyak
bersabar. Di sinilah peningkatan untuk Puan, insyaAllah. Mana yang
lebih besar, Suami Puan atau peningkatan Puan di sisi Tuhan? Di sini
baru terserlah kebaikan poligami sebab ia satu cara nak meningkatkan
taqwa. Kalau dengan ibadah mungkin prosesnya lambat. Tetapi dengan
poligami, ia jadi cepat.
S: Terima kasih ustaz. Berikanlah nasihat akhir ustaz pada saya.
J: Mengapa Puan jadi begini sebab selama ini bagi puan, suami itu
adalah segala-galanya. Itu perlu diubah. Suami bukan segala-galanya.
Sebaliknya, Tuhan adalah segala-galanya. Ketahuilah kita, selama ini
kita telah membesarkan yang kecil. Suami itu sekadar hadiah dari Tuhan
untuk kita. Dia boleh datang dan pergi dalam hidup kita. Tetapi jangan
sampai Tuhan kita pinggirkan. Atau kita kesampingkan. Kalau tak
berlaku poligami, kita tak nampak ini. Usahakan supaya kita kuat
dengan Tuhan, insyaAllah nanti kita akan kuat menghadapi perkara dunia
seperti poligami. Berdoalah pada Tuhan begini:, “Ya Tuhan! Aku hendak
redhaMu Tuhan. Kalaulah dengan poligami ini, aku dapat redhaMu, aku
bersedia. Namun, aku lemah Tuhan, aku tidak mampu. Kau bantulah aku
Tuhan menghadapi poligami ini. Bantulah aku untuk aku berbaik-baik
dengan maduku. Dan bantulah aku untuk sentiasa dapat menyenangkan
suamiku. Juga, bantulah suamiku untuk menjadi kuat denganMu Tuhan,
moga-moga dengan itu, dia dapat berlaku adil kepada isteri-isterinya.
Moga-moga dengan itu, kami sekeluarga mendapat kebahagiaan yang hakiki
dariMu.”
print boleh bagi isteri baca jika berhajat...he he