Selasa, 15 Disember 2009

200,000 Kes Jenayah Setahun-Tian Chua

Dewan Rakyat malam Isnin menolak usul untuk memotong gaji Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebanyak RM100 sebulan yang dikemukakan oleh anggota Parlimen Batu dari PKR, Tian Chua.

Ketika membentangkan usul itu, Tian Chua berkata gaji menteri berkenaan perlu dipotong kerana beliau gagal melakukan reformasi dalam pasukan polis serta melanjutkan kontrak Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan yang didakwa mempunyai prestasi dan rekod buruk.

"Beliau juga gagal membendung kegiatan jenayah seperti samseng jalanraya, ragut, kongsi gelap dan samun serta gagal menangani isu kematian dalam lokap termasuk kes A.Kugan," katanya.

Usul yang dibawa Tian Chua itu turut disokong oleh Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) yang menyifatkan bahawa kadar ketenteraman negara pada ketika ini berada dalam keadaan parah.

"Terdapat lebih 200,000 kes jenayah dalam tempoh setahun dan rakyat kini telah kehilangan kepercayaan kepada polis. Selain itu, saya dapati terdapat kekurangan intelligence dalam kepolisan kita...perkara ini mesti ditingkatkan," kata beliau.

Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) pula berkata, usul anggota Parlimen Batu itu adalah untuk menyedarkan Hishammuddin bahawa beliau mempunyai tanggungjawab yang besar.

"KPN yang mempunyai rekod buruk telah diberi lanjutan...usul ini adalah sebagai simbolik untuk menteri faham bahawa perkara sebegini tidak boleh diterima rakyat...sepatutnya perkara ini ditangani dengan lebih berkesan dan bertanggungjawab," katanya.

Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan