Isnin, 2 April 2012
Umno adalah kilang fitnah terbesar kata bekas veteran Umno ,Aspan Alias
Kami sertai Dap bukan sebab kerusi kata Aspan, Ariff
Atas kekecewaan terhadap kepimpinan parti, Datuk Ariff Sabri dan Aspan Alias yang selama ini merupakan ahli Umno bertekad menyertai DAP, yang mana menurut mereka parti yang dituduh Umno sebagai chauvinis Melayu itu mengamalkan dasar "kesatuan nasional."
Malah, mereka turut menolak dakwaan blog-blog Umno bahawa mereka menyertai DAP atas sebab tiada kekosongan kerusi dalam parti komponen lain Pakatan Rakyat (PR) seperti PAS, dan PKR.
"Kami menyertai DAP kerana kami merasakan parti ini mengamalkan perjuangan dasar "kesatuan nasional" yang tidak mengamalkan politik perkauman dan agama, malah dalam borang penyertaan sendiri tidak disediakan ruang untuk bangsa.
"Kami bukan menyertai DAP atas dasar kerusi, bukan untuk bertanding merebut kerusi Melayu dalam DAP. Itu semua spekulasi Umno yang sejak dulu mengamalkan politik fitnah. Umno adalah kilang fitnah terbesar," tegas Asfan Alias ketika siri jelajah "Kenapa Saya Masuk DAP" anjuran Roketkini dan DAP Subang Jaya di sini.
Menurut Asfan lagi, masa yang beliau habiskan bersama Umno sejak 41 tahun lalu adalah satu pembaziran.
"Umno sekarang berbeza. Mereka memusuhi Melayu dan tidak menghormati badan legislatif negeri.
"Umno sudah mati, dan hanya berselindung dalam tubuh Umno dahulu," tegasnya.
Jelasnya, Umno sudah musnah sejak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mula mengambil alih tampuk pemerintahan negara.
"(Dr) Mahathir yang memulakan kronisme kerana beliau tidak faham politik. Pemimpin terdahulu adalah golongan aristokrat yang tidak makan duit rakyat, mereka fokus untuk membangunkan negara.
"Tapi bila orang biasa jadi pemimpin, mereka mula sibuk untuk mengumpul kekayaan sendiri," katanya lagi.
Sementara itu, bekas Ketua Penerangan Umno bahagian Pekan Datuk Ariff Sabri berkata, penglibatan beliau dalam DAP adalah kerana parti itu adalah sebuah parti yang berjuang untuk demokrasi , kesaksamaan ekonomi, dan negara yang bebas dari rasuah.
"Saya ambil keputusan yang lama untuk sertai DAP, saya kecewa dengan kepimpinan parti yang mengamalkan kronisme politik, berbeza dengan DAP yang memperjuangkan kesaksamaan dalam ekonomi, bebas rasuah, dan berjuang semata-mata demi demokrasi," tegasnya yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Manis untuk sepenggal.
"Umno bukan pejuang Melayu sejati, mereka adalah pejuang hanya untuk sekumpulan Melayu.
Tambah Ariff, penyertaan dirinya ke dalam DAP juga berikutan gejala korupsi dalam Umno yang tidak dapat dibendung dan sudah tidak dapat terkawal.
"Umno dan rasuah ibarat "aur dengan tebing," Umno tidak dapat hidup tanpa rasuah, rasuah tidak dapat berkembang tanpa Umno," katanya lagi.
Sementara itu, anak kepada bekas pemimpin Umno, Zairil Khir Johari berkata, penyertaannya ke dalam DAP disebabkan parti itu mengamalkan keterbukaan dan tidak mengamalkan politik kronisme dan beliau benci dengan permainan perkauman dan agama yang didalangi Umno.
"Umno sudah sakit dan tidak boleh diubati. Parti itu menggunakan sentimen bangsa dan agama untuk takutkan rakyat.
"Selama 46 tahun Umno menuduh DAP Komunis, chauvinis Melayu, dan sebagainya sedangkan dasar DAP adalah perjuangan keadilan kesaksamaan," tegasnya yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Lim Guan Eng.
Zairil turut menyelar Umno yang menurutnya menjadi dalang menuduh DAP mengkristiankan umat Islam.
"Umno menuduh DAP mengkristian umat Islam, sedangkan parti ini hanya mempunyai kurang 10 peratus ahli beragama Kristian, jadi apa logiknya tuduhan mereka itu?" katanya lagi dan menegaskan kenyataan Umno itu adalah tidak berasas.-Themalaysianinsider
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Betul ke UMNO kilang fitnah,Saudara Aspan ? Saudara lupa ke kisah silam saudara yang menyebabkan saudara dipinggirkan ?Jangan tuduh sebarangan,cermin muka tu dulu!
BalasPadam