Ahad, 20 Mac 2011

Tentera Bersekutu serang Libya, Gaddafi akan jadi macam Saddam Hussain?

Libya diserang, 110 peluru berpandu dilancar-Themalaysianinsider

Tentera perikatan Amerika Syarikat dan Eropah melancarkan tindakan ketenteraan — dinamakan operasi Odyssey Dawn — ke atas Libya semalam (tengah malam dan awal pagi ini, waktu Malaysia) untuk memaksa Muammar Gaddafi menghentikan serangan ke atas rakyatnya sendiri, sekali gus meninggalkan tampuk kepimpinan.

Kempen perikatan itu dilihat sebagai yang terbesar sejak Perang Iraq hampir lapan tahun lalu.

Ekoran serangan itu, televisyen kerajaan Libya melaporkan negaranya “diceroboh musuh”.

Pesawat-pesawat perang melepaskan serangan pertama dengan memusnahkan kereta kebal pasukan tentera kerajaan di Benghazi, sebelah timur Libya.

Selain Amerika Syarikat, perikatan Barat itu terdiri daripada Britain, Perancis, Kanada dan Itali.

Beberapa jam kemudian (awal pagi ini waktu Malaysia), kapal perang dan kapal selam Britain dan Amerika Syarikat melancarkan lebih daripada 110 peluru berpandu ke atas pangkalan pertahanan udara di sekitar Tripoli - ibu negara Libya dan bandar raya Misrata di sebelah barat, yang dikuasai tentera Muammar.

Pentagon berkata operasi ini diadakan untuk menguatkuasakan resolusi PBB yang mengenakan zon larangan terbang dan apa jua pendekatan bagi menghentikan tindakan ketenteraan Muammar di negaranya ekoran kebangkitan rakyat yang berlarutan sejak sebulan lalu.

Resolusi itu diluluskan tiga hari lalu.

Malah serangan ini dilancarkan beberapa jam selepas perikatan itu dan negara Arab mengadakan mesyuarat khas di Paris semalam.

“Ini bukan hasil yang Amerika Syarikat atau mana-mana rakan kami mahukan,” kata Presiden Barack Obama yang sedang mengadakan lawatan ke Brazil.

“Kita tidak boleh berdiri begitu sahaja apabila seorang penzalim memberitahu rakyatnya bahawa tidak ada belas kasihan,” kata beliau.

Tidak sampai dua jam selepas Obama mengeluarkan kenyataan itu, Muammar pula muncul di televisyen sambil merayu kepada negara-negar Arab dan Amerika Latin supaya “berdiri bersama rakyat Libya, menentang pencerobohan ini yang tidak akan membawa apa-apa kesan, sebaliknya menjadikan rakyat Libya lebih kuat dan bersatu.”

Di Washington, Laksamana Muda William E. Gortney berkata, peluru berpandu dilepaskan daripada beberapa kapal pemusnah Amerika Syarikat dan juga kapal-kapal selam serta satu daripada milik Britain.

Katanya, serangan itu mengenai lebih daripada 20 lokasi tentera udara Libya sepanjang kawasan pantai Mediterranean dan sebelah barat.

Katanya, serangan ini hanya bahagian pertama siri kempen mereka dan lebih banyak serangan sudah dirancang.

Kapal Amerika Syarikat yang terlibat termasuklah USS Barry, USS Stout, USS Providence, USS Scranton dan USS Florida manakala satu kapal selama Britain Westminster.-TMI

Nasib Muammar Gaddafi akan jadi macam Saddam Hussain bekas pemimpin Iraq yang telah dibunuh olehTentera Bersekutu selepas berjaya melakukan peralihan kuasa melalui campurtangan Amerika Syarikat,Britain dan lain-lain negara bersekutu hancurkan bumi Iraq dan membunuh ramai rakyat Iraq atas alasan Iraq ada senjata nuklear dan senjata pemusnah.Hingga kini sebiji pun tidak dijumpai bom nuklear seperti yang didakwa Amerika syarikat dan tentera bersekutu.

Sekarang Tentera Bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat mendapat tiket percuma hasil kekejaman Presiden Libya sendiri Muammar Gaddafi untuk menyerang Libya negara Afrika yang paling kaya dengan hasil minyak.Alasan tentera bersekutu ialah untuk selamatkan rakyat Libya yang menentang Gaddafi daripada terus dibunuh tentera regim Gaddafi.

Tentera Bersekutu tidak sabar-sabar lagi untuk mengganyang sebuah lagi negara Islam hasil kepincangan dan kezaliman Presiden Libya sendiri.Siapa dan negara Arab mana yang berani menolong Gaddafi sedangkan negara-negara Arab sendiri sedang hadapi gelombang kebangkitan rakyat mereka yang tolak pemimpin diktator dan kukubesi.

Gaddafi telah melakukan kesilapan besar dengan kezaliman yang beliau lakukan terhadap rakyatnya sendiri telah membuka ruang kepada negara penjajah untuk campurtangan di Libya dan lakukan serangan ke atas Libya.Negara penjajah juga ambil kesempatan untuk mencuba segala senjata moden mereka dengan menyerang Libya.Baca di sini dan di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan