Ahad, 11 Julai 2010

Umno mimpi perpaduan selepas hilang majoriti

Mengapa pemimpin Umno baru sekarang beriya-iya benar mengharap perpaduan dengan PAS, sedangkan sebelum Mac 2008 perkara itu tidak pernah berbangkit.

Malah ketika itu tidak timbul langsung soal perpaduan Melayu seperti cuba diketengahkan hari ini.

Merungkai persoalan tersebut, anggota jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Umno baru bermimpi untuk berpadu dengan PAS selepas mereka kehilangan kuasa dua pertiga pada pilihan raya umum lalu.

“Sedangkan sebelum ini Umno tidak memerlukan PAS. Jadi kita hendak tanya perpaduan yang dihulur sekarang ikhlas atau tidak.

”Kalau beriya-iya benar hendak perpaduan mengapa dalam masa yang sama kerajaan pusat menafikan hak rakyat Kelantan ke atas royalti petroleum.

”Mengapa perlu diwujudkan Jabatan Pembangunan Persekutuan di negeri ini. Begitu juga pengerusi Majlis Keselamatan Negeri di negeri Pakatan tidak diketuai Menteri Besar,” katanya pada Wacana Perdana di Balai Islam malam tadi.

Wacana tersebut mengetengahkan dua pemimpin muda Umno iaitu Pengerusi Biro Agama Pemuda Umno Malaysia, Effandi Yusof dan exco pergerakan itu, Lokman Nor Adam.

Selain itu bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin, manakala Prof Madya Dr Muhamad Agus Yusof bertindak sebagai moderator.

Wacana tersebut dianjurkan Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan negeri.

Dr Mujahid berkata, kalau benar perpaduan Melayu diharapkan pemimpin Umno tentunya mereka tidak menyinsihkan Kelantan kerana bilangan penduduk Melayu lebih 95 peratus.

”Namun berdasar kepada apa yang berlaku sekarang di mana diskriminasi terhadap Kelantan berterusan jadi kita tidak nampak perpaduan yang disebut pemimpin Umno sebagai ikhlas,” katanya. Hujah itu mendapat sokongan orang ramai yang hadir.

Wacana tersebut seringkali terganggu apabila orang ramai tidak dapat menahan emosi terhadap banyak hujah yang diutarakan Effandi dan Lokman.

Malah kedua-dua panel Umno tersebut diperlekehkan penonton apabila cuba membawa mesej perpaduan dengan PAS.

Lokman agak emosi apabila banyak kali mencelah ketika Dr Mujahid sedang membentangkan hujahnya.

Effendi juga ditegur Dr Asri apabila cuba menghurai maksud ayat al Quran yang agak terkeluar dari konteksnya.

Dr Mujahid yang juga anggota parlimen Parit berkata, perpaduan dalam Islam bukan sekadar melibatkan satu bangsa sahaja, malah ia merangkumi semua kaum.

Effandi selepas itu menjelaskan pendiriannya seperti pemimpin-pemimpin Umno lain iaitu Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu.

Bagaimanapun penjelasannya itu tidak diterima penonton sehingga ramai yang menjerit-jerit. Suasana menjadi benar-benar hangat.

”Perpaduan adalah tuntutan Islam. Kalau perpaduan di antara Umno dan PAS menjadi kenyataan, Umno tidak ada masalah hendak sokong draf hudud apabila dibentang di parlimen.

”Tetapi sekarang PAS sukar hendak melaksanakan Islam kerana kelihatan seperti takut kepada DAP dan Keadilan,” kata Effandi.

Menjawab isu tersebut Dr Mujahid mempersoal mengapa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran kepada kerajaan Kelantan selepas meluluskan enakmen hudud pada 1993.

Memperjelaskan kekeliruan dalam isu perpaduan Dr Asri berkata, perpaduan hanya boleh berlaku apabila Islam menjadi prasyarat.

Kata beliau sekiranya hanya diperjuangkan bangsa Melayu dalam lanskap politik di negara ini, bagaimana pula kaum-kaum lain.

”Macam mana kita hendak ajak orang Cina dan India mendekati Islam, sedangkan orang Melayu hanya memperjuangkan bangsa sendiri seperti dilaungkan pemimpin Umno sekarang,” katanya.

Menjawab soalan moderator mengapa beliau tidak menyertai Umno bersama 40 ulama muda baru-baru ini katanya, buat masa ini tidak ada cita-cita untuk menyertai parti itu.

”Saya sahkan tidak akan masuk Umno buat masa sekarang. Cukup dengan pemimpin yang ada dalam Umno. Saya pun tidak pernah kata mahu masuk Umno.

”Kalau ada orang sebut saya hendak masuk kena tanya orang itulah kerana saya tidak ada cita-cita begitu,” kata Dr Asri.

Sebelum ini riuh rendah diperkatakan bekas Mufti Perlis itu disebut-sebut akan bersama-sama 40 ulama muda menyertai Umno.-Harakahdaily.

Kalau nak sambung permit penerbitan Harakah pun terkial-kial, nak buat perpaduan apa dengan Umno. Pemimpin Pas dah 'bertaubat ' daripada buat perpaduan dengan Umno kalau ada lagi nak menggatal dengan Umno memang patut kena luku!

1 ulasan:

  1. "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan"...firman Allah dlm surah Al-Maidah Ayat 8

    BalasPadam