Jumaat, 23 Julai 2010

Pemimpin Pas jumpa Harussani tidak wala' kepada parti- Khalid Samad


Mari kita baca sebahagian apa yang Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad kata mengenai perpaduan Umno -Pas dan jika benar ada pemimpin Pas jumpa Mufti Perak Harussani nak bincang perpaduan Umno-Pas dan atas sifat peribadi sekalipun ianya diangap tidak wala kepada parti kerana membelakangkan keputusan parti dalam muktamar yang lepas. Kata Khalid Samad;


Maka adalah tidak wajar bagi PAS yang telah berjuang selama ini, membina asas perpaduan Islam di kalangan ummat Islam bagi menyelamatkan mereka dari asas perpaduan yang palsu di bawah UMNO, untuk secara tiba-tiba menyatakan, “kita tidak berbeza. Kita sama sahaja. Marilah kita bersatu”. Adalah lebih wajar untuk UMNO menyatakan “kita tersilap selama ini dan Syaitan telah menyesatkan kita sehingga rasuah, salah guna kuasa, penindasan, penyelewengan dan sekularisma diperlihatkannya sebagai penyelamat bangsa Melayu. Kita perlu bubarkan UMNO dan kembali kepada perjuangan Islam bersama PAS”.

Itu sahajalah kaedah perpaduan yang bermakna.

Ada pula yang bertanya, “kalau begitu, bagaimana pula kerjasama PAS dengan PR?”

PKR dan DAP ada wawasan mereka masing-masing yang inginkan keadilan sosial. Walaupun konsep keadilan mereka berbeza dengan konsep keadilan PAS, namun dari segi praktiknya ada banyak persamaan. Perjuangan mereka turut menolak rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, penindasan dan sebagainya dan walaupun mereka berpegang kepada fahaman politik sekular, mereka tidak menafikan bahawa sekularisme itu adalah sesuatu yang bercanggah dengan fahaman Islam. Pada masa yang sama, keadilan sosial yang mereka perjuangkan meliputi keadilan untuk semua, termasuk orang Melayu dan ummat Islam. Lagipun, perlembagaan Negara yang sediada terus akan diguna pakai di mana persoalan institusi raja-raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, hak istimewa Melayu dan sebagainya akan terus diterima tetapi tidak disalahgunakan. Oleh itu adalah lebih mudah PAS bersama PR dari bersama UMNO yang tidak mempunyai sebarang prinsip.

Berhubung isu perjumpaan pemimpin PAS dengan Mufti Perak pula, ianya amat mudah untuk dirumuskan. SEKIRANYA ada mana-mana pemimpin PAS, walaupun atas kapasiti peribadinya, bertemu dengan Mufti Perak untuk meminta beliau mengusahakan kesatuan UMNO dengan PAS, maka pemimpin tersebut TIDAK WALA’ kepada parti. Ini adalah kerana dasar parti jelas dan ditegaskan di dalam 3 Muktamar berturut-turut. Kukuhkan PR dan tolak perpaduan dengan UMNO!

Pemimpin tersebut patut diberi surat tunjuk sebab dan sekiranya didapati benar beliau bertemu dengan tujuan tersebut, maka beliau patut diminta tinggalkan parti dan sekiranya enggan, dipecat dari parti. Tindakan beliau telah menyulitkan PAS, mengelirukan ahli-ahlinya dan menimbulkan fitnah di kalangan parti-parti rakan dalam PR. Ianya tindakan yang disambut dan disahut oleh UMNO serta rakan-rakan mereka dalam BN kerana berpotensi untuk melemahkan PR.

SEKIRANYA ianya benar berlaku maka PAS perlu menyedari bahawa, malangnya, masih ada di kalangan pimpinannya mereka yang tidak boleh membezakan di antara Melayu dan Islam dan menganggap Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Ini bermakna ada pimpinan yang ‘tidak cukup tarbiyyahnya’ dan oleh itu mereka perlu diturunkan dari kedudukan mereka sebagai pemimpin. Mereka bukanlah seperti saya, seorang ahli biasa (sehingga hujung bulan ini) tetapi mereka ‘pemimpin’ dan oleh itu perlu dipertanggung-jawabkan atas tindakan mereka dengan lebih tegas lagi.

Kalau tidak, maka akan semakin celaru.-Blog Khalid Samad Persoalan Perpaduan Melayu.


Berkaitan;
Bubar Perkasa dan Umno bukan Pas-Harakahdaily
'Saya akan bangkit isu Umno-Pas Ahad ini'-Malaysiakini
Harussani enggan dedah nama pemimpin Umno-Pas -Malaysian Insider

1 ulasan:

  1. Salam...
    harap2 ni sume mainan politik Umno-Apco yg xblh duduk diam...nak samakan pimpinan PAS ngan pimpinan UMNO yg kononnya xsebulu antara satu sama lain...wallahua'lam

    BalasPadam