Jumaat, 20 November 2009

P. Balasubramaniam Manusia Istimewa

Jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz bahawa kedudukan P Balasubramaniam tidak dapat dikesan untuk dipanggil memberi ketera�ngan dalam siasatan pembunuhan Altantuya Shaariibuu, tidak boleh diterima.

Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua berkata, penyiasat persendirian itu dikesan sudah tiga kali kembali ke negara ini selepas ‘hilang’ tahun lalu.

Katanya, dalam jawapan bertulis daripada Jabatan Perdana Menteri yang diterimanya Isnin lalu, jelas tertulis kerajaan hanya mengetahui kedudukan Balasubramaniam di Bangkok, Thailand, dan tidak mengetahui kedudukannya selepas menghilangkan diri.

“Nazri menjelaskan siasatan sudah selesai seperti yang beliau cakap dalam Dewan Rakyat, tetapi beliau menjelaskan tidak dapat mengambil tindakan lanjut kerana tidak dapat mengambil kenyataan Balasubramaniam yang hilang hingga kini.

“Jawapan seperti ini langsung tidak masuk akal kerana kedudukan terakhir Balasubramaniam yang diketahui kerajaan bukannya di Bangkok tetapi Kathmandu, Nepal,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, semalam.

Tian Chua, yang juga Ahli Parlimen Batu, turut menjelaskan pergerakan Balasubramaniam diketahui kerajaan dan 'kehilangannya' tahun lalu penuh dengan tanda tanya.

“Bagaimana pasport Balasubramaniam dan seluruh keluarganya berjaya disiapkan dalam sehari sahaja dan selepas itu beliau hilang.

“Selain itu, kedutaan kita di negara yang dilawati Balasubramaniam sedar perkara ini. Jadi alasan tidak dapat mengesan kedudukan Balasubramaniam amat tidak boleh dipercayai,” katanya

Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan