Khamis, 19 November 2009

Ketua Pakatan: "Biar Periuk Menggelegak" Kata TGNA


KOTA BARU, Nov 19 — Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kelihatan belum bersedia untuk memberi reaksi berhubung cadangan agar beliau dilantik menerajui Pakatan Rakyat (PR) sambil menyifatkannya sebagai isu yang "belum masak lagi."

Menteri Besar Kelantan itu menyifatkan masih terlalu awal dan belum sampai masa untuk beliau mengulas cadangan itu yang dilontarkan oleh Datuk Zaid Ibrahim.

"Belum masak lagi, biar periuk menggelegak, lama-lama boleh masak dan makan nasi," kata beliau semalam.

Minggu lalu, Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan kini bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesyorkan agar Nik Aziz mengetuai PR apabila ia didaftarkan sebagai entiti formal.

Zaid merupakan bekas Ahli Parlimen Kota Baru.

Kini Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan Ketua Umum PR yang dibentuk selepas pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.


Bagaimanapun syor Zaid itu mencetuskan pelbagai pandangan positif dan negatif, malah kebimbangan di kalangan penyokong Anwar.

Oleh itu jelas Zaid, "saya tegaskan di sini bahawa buat masa ini memang tak ada mana-mana wakil rakyat yang lebih sesuai dan berupaya daripada Anwar Ibrahim untuk menjawat jawatan Perdana Menteri apabila Pakatan memperolehi undi majoriti rakyat nanti."

"Bila saya mencadangkan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dilantik ketua Pakatan Rakyat, riuh-rendah kedengaran suara menyokong dan menentang.

"Ramai yang memberi pendapat mereka. Ada pula yang menuduh kononnya ini strategi saya nak jadi ketua Pakatan.

"Kata mereka saya tak hormat Anwar Ibrahim apabila membuat cadangan ini. Nampaknya masih ada yang tak faham atau pura-pura tak faham," ujar Zaid.

PR dijadual mengadakan konvensyen khas 19 Disember ini.

Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan