Warkah buat saudaraku anggota polis-Dr Asri (Malaysiakini)
Assalamualaikum warahmatuAllahi wabarakatuhu,
Terlebih dahulu, pohon kemaafan jika warkah ini terbuka. Saya harap ia dapat dibaca oleh semua. Jika ada kebaikan, ambillah darinya. Jika tidak, campaklah ia ke tepi dan lupakan sahaja.
Ia hanya satu coretan dari seorang rakyat bawahan. Tanda cinta dan kasih kepada saudara yang saya lihat tercegat di segala penjuru negara atas tanggungjawab menjaga keamanan kita semua. Mata memandang, hati merintih dan berdoa agar tugasan saudara benar-benar diberikan pahala di sisi Tuhan dan diiktiraf di sisi rakyat.
Saudaraku anggota polis,
Kerja polis adalah satu kerja yang mulia kerana menjaga keamanan dalam negara. Penat lelah anggota polis dalam memastikan negara kita aman dan adil adalah pahala yang amat besar di sisi Allah jika pengamalnya jujur dan ikhlas.
Sepatutnya, tiada seorang pun rakyat yang cintakan keadilan dan keamanan akan membenci polis. Sebaliknya, perasaan fitrah; sayang dan menghargai akan tertanam dan mekar sebaik sahaja mendengar nama polis, melihat anggota atau apa sahaja perlambangan polis. Itulah perkara sewajarnya berlaku.
Cegah kemungkaran
Saudaraku anggota polis,
Tugas seorang anggota polis - sebelum tugasan kenegaraan- sebenarnya adalah tugasan yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya iaitu 'Menyuruh Kebaikan, Mencegah Kemungkaran'.
Itu moto asal pasukan polis. Sekalipun, tumpuan terbanyaknya kepada bahagian kedua iaitu 'Mencegah Kemungkaran'. Hakikatnya, polis berperanan menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah dengan dipastikan setiap penzalim akan dihalang, dicegah dan dihukum.
Jika itu tidak berlaku, masyarakat akan porak peranda dan menerima hukuman dari Allah. Allah berfirman: (maksudnya): “Telah dilaknat mereka yang kufur daripada Bani Israil melalui lidah Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka kerjakan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-Maidah, ayat 78-79).
Nabi s.a.w pula bersabda: “Sesungguhnya manusia apabila melihat orang zalim, namun tidak menghalang tangannya, hampir Allah akan meliputi mereka dengan hukumanNya” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai dengan sanad yang sahih).
Kami sebagai rakyat mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak polis yang telah menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah, kezaliman dan kerosakan.
Bahaya kuasa
Saudaraku anggota polis,
Namun, dalam masa yang sama, bidang tugas dan kuasa saudara yang menghalang kezaliman itu jika disalahgunakan boleh memberikan kesan yang sebaliknya.
Ia boleh bertukar dari melindungi yang tidak bersalah kepada menginayainya, menghalang yang zalim kepada memberi peluang kepadanya, memberi hak kepada yang berhak kepada merampas hak dari tuannya.
Jika itu berlaku, rosaklah masyarakat, hilanglah neraca keadilan, bermegah si zalim, kesakitanlah yang ditindas. Lantas, kebencian akan merebak, kepercayaan akan hilang dan saudaraku polis yang sepatutnya disayangi menjadi pihak dimusuhi, dibenci dan diragui.
Saudaraku anggota polis,
Ingin saya sebut di sini suatu tazkirah yang harapnya boleh memberikan manfaat kepada semua, khususnya mereka yang berkuasa seperti saudara.
Saudaraku, kezaliman itu adalah suatu racun. Ia bukan sahaja menyakitkan yang dizalimi, tetapi suatu hari akan membawa sengsara, bahkan mengorbankan si zalim itu sendiri.
Pada hari kita memukul orang yang tidak bersalah, melukai atau menfitnahnya, kita mungkin rasa selamat di balik peruntukan kuasa yang ada. Mungkin juga rasa selamat di balik pakaian lengkap kita yang mungkin gagal mangsa mengenali pelakunya.
Namun Tuhan tidak lupa. Akan ada harinya yang menanti kita di hadapan. Tangan yang memukul orang lain dan kaki yang menendang mangsa itu tidak akan terpadam catatannya sehingga kemaafan diberikan.
Ketika saudara pulang ke rumah berjumpa keluarga, si mangsa mendongak ke langit mengadu kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa.
Doa orang dizalimi
Dengarlah baik-baik apa yang yang disabdakan Nabi SAW: "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam riwayat Ahmad, baginda bersabda: "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya itu bagi dirinya" (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).
Dalam riwayat Ahmad yang lain: "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ia tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).
Saudaraku anggota polis,
Tiada siapa antara kita yang dapat menyelamatkan dirinya dari hukuman Tuhan. Seseorang mungkin telah melupai orang yang dizaliminya, atau si mangsa juga mungkin terlupa, atau pergi menemui Ilahi terlebih dahulu.
Namun doanya tetap hidup. Akan ada waktu, ia tetap datang bertandang dalam kehidupan si zalim; meragut kebahagiaannya, ketenteraman hidupnya dan mencampakkan derita dalam pelbagai warna dan rupa.
Mungkin si zalim ketika itu terpinga dan bertanya 'apakah salah saya?'. Dia terlupa bahawa Tuhan tidak lupa atas kezalimannya, di dunia dan akhirat sana.
Saudaraku anggota polis,
Dunia ini sementara. Setiap kita akan ada hari akhirnya. Akan berakhirlah sebuah kehidupan dan bermulalah mahkamah keadilan Tuhan.
Tunggu balasan
Tiada kuasa yang dapat membela, tiada pembesar yang dapat berkata. Semua tunduk menunggu balasan. Firman Allah (maksudnya): “Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang ketika itu terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar), mereka terburu-buru (menyahut panggilan) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata yang tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas)”. (Surah Ibrahim 42-43).
Saudaraku anggota polis,
Sekali lagi pada hari itu si zalim akan bertemu dengan semua mereka yang telah dimangsakan, di hadapan mahkamah yang Maha Adil.
Tiada bukti yang dapat disembunyikan, diputarbelit dan ditipu kepada masyarakat manusia yang berkumpul ketika itu. Tiada media yang boleh diperguna dan tiada kuasa kerajaan yang boleh melindunginya.
Adil seadil-adilnya. Bak kata Nabi s.a.w: "Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk" (Riwayat Muslim).
Sabda baginda juga: "Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tiada dinar dan dirham (tiada harta iaitu pada Hari Kiamat).
Arahan atasan
Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tiada baginya kebaikan, maka akan diambil dosa orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya" (Riwayat al-Bukhari).
Saudaraku anggota polis,
Saya tahu, kadang-kala ada keadaan yang sukar sebagai anggota polis yang terpaksa melaksanakan arahan 'atasan'. Maka, mungkin ada yang berkata 'kami hanya menjalankan tugas'.
Sudilah saudara mendengar nasihat tokoh Islam yang agung al-Imam Hasan al-Basri r.a. kepada Gabenor Iraq dan Khurasan iaitu 'Umar bin Hubairah. Ketika itu zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin Abdul Malik.
Kata 'Umar bin Hubairah: “Sesungguhnya khalifah Yazid bin Abdul Malik kadang-kala menyuruhku melaksanakan perkara yang aku rasa tidak puas hati dari segi keadilan. Apakah jika aku melaksanakannya menjadi sutu kesalahan di sisi agama?
Kata Hasan al-Basri: “Wahai Umar bin Hubairah! Takutlah Allah mengenai Yazid, jangan engkau takutkan Yazid mengenai Allah. Ketahuilah sesungguhnya Allah azza wajalla dapat menghalang Yazid daripada bertindak ke atasmu, tetapi Yazid tidak dapat menghalang Allah daripada bertindak ke atasmu.
Wahai 'Umar bin Hubairah! Sesungguhnya akan turun kepadamu malaikat yang bengis dan keras, dia tidak akan menderhakai apa yang Allah perintahkannya. Dia akan mengambil engkau dari tempat dudukmu ini, dan memindahkan engkau dari istanamu yang luas, ke kubur yang sempit.
Tanggungjawab kepada Allah
Di sana tiada Yazid, hanya yang ada amalanmu yang menyanggahi Tuhan Yazid. Wahai 'Umar bin Hubairah! Sekiranya engkau bersama Allah dan ketaatan kepadaNya, ia boleh menghalangmu dari kejahatan Yazid di dunia dan akhirat.
Jika engkau bersama Yazid dengan menderhakai Allah, sesungguhnya Allah akan menyerahkanmu kepada Yazid. Ketahuilah wahai 'Umar bin bin Hubairah! Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakai Pencipta”. Maka menangislah Gabenor 'Umar bin Hubairah”. (rujukan: Mir at al-Jinan wa 'Ibrah al-Yaqzan)
Saudaraku anggota polis,
Kita boleh bertugas kepada sesiapa pun, tetapi jangan lupa tanggungjawab kita di hadapan Allah. Tiada cacatnya menjadi anggota polis. Saudara bukan musuh rakyat. Sebaliknya, saudara diperlukan rakyat.
Apa yang cacat dan menimbulkan kebencian awam adalah tindakan kita sendiri jika menyalahi prinsip-prinsip keadilan dan keamanan. Jika itu tidak berlaku, sayang dan cinta rakyat tertumpah kepada saudara.
Ingatlah kata-kata Abu Bakar al-Siddiq: “Benar adalah amanah, bohong adalah khianat”. Jika saudara benar, rakyat sayang, Allah juga sayang. Kedamaian jiwa pun menjelang. Jika saudara bohong rakyat benci, Allah juga benci. Rezeki tidak halal, hidup tidak bahagia.
Saudaraku anggota polis,
Inilah pandangan seorang rakyat marhaen awam seperti saya. Tiada kebencian antara rakyat dan saudara jika keadilan itu tertegak.
Rakyat awam bukan sahaja mahukan keadilan yang ditafsirkan oleh pihak saudara, tetapi keadilan yang dapat difahami oleh semua. Bukan sahaja adil dari segi bicaranya, tetapi hendaklah kelihatannya juga adil.
Semoga Allah merahmati saudara dan tugas saudara. Diberikan rezeki yang halal. Bebas dari kezaliman dan rasuah. Kami akan bersama menyanjungi saudara! Selamat bertugas!
menunggu teguran dari ulama muda UMNO & Mufti Perak dan Wilayah pulak
BalasPadamPiirraahhh!!! Bilamana si dajjal wahabi berbicara..
BalasPadamWoi Asri.., awat hang tak mau bawa khutbah hang tu pi kat Saudi hang bilamana tentera Saudi dibawa khas ke Bahrain tembak mati para demonstrasi baru-baru ni..??
Woi Misai..,kan aku dah pesan..bilamana member kamcheng hang si Sabun dah berkawan dgn para pemuja dajjal.., everything's deceiving...
Biarlah dia dengan labu-labunya ..
BalasPadamjanganlah dilayan pada yang terlampau
BalasPadamSayangilah saudara kita
BalasPadamSalam buat saudara.
BalasPadamSurat Dr.Asri amat menarik dan perlu direnungi untuk semua bukan sahaja kepada pihak polis tapi juga yang membuat punca ona. Kalau dah beribu orang berarak dan memekik sambil mengutuk polis tuan pun tak sesabar mana.
Kayu ukur kita perlu jelas.Teropong kita jangan hanya dari satu sudut. Sebagai penjaga keamanan tidak siapapun ingin bertidak zalim. Tapi bila amaran diberi dan ada yang berkeras maka apa mungkin kita biar begitu sahaja. Dan Timbalan PAS sendiri pun buat ona dengan menuduh polis melanggarnya. Apa betul ke ini bukan kezaliman?.
Lalu kita pun berbicara tentang keadilan sedangkan siapa pencetus punca untuk polis bertindak?. Lantas kita pun dapatkan pandangan dari Pak Lebai yang sejiwa dengan kita...maka tentunya hujah yang diberi sudah diduga...walahualam
Persoalannya adakah perhimpunan itu haram atau halal disisi perlembagaan.
BalasPadamPolis telah diajar utk bersabar ..melebihi orang awam. Kalau polis x sabar ..dah lama polis yang bertenaga muda tembak orang.
Kita orang islam bersaudara ..sehati dan sejiwa. Nak dengar pandangan sapa lagi.. kita ada kitab rujuk sajalah..x pandai bagi yang pakar tolong bacakan.
BalasPadamSi wahabi Asri ni..cukup halus jarum kewahabiannya.. Typical perangai dajjal, dia akan mengapikan dua kelompok.. sebab tu dia cukup suka duduk ditengah-tengah..kononnya sebagai orang yg tiada kepentingan la.. dan dia pun dah bagi pandangan, UMNO biar dgn UMNO...PAS biar dgn PAS.. tak payah bersatu.. Itu lah kehendak dajjal...
BalasPadamHebat kata-kata tuan ...harap ilmu tuan melebihi ilmunya, alim tuan melebihi alimnya, warak tuan melebihi waraknya, Taat tuan kpd Allah melebihi ..melebihi taatnya. Takut tuan pada Allah melebihi takutnya.
BalasPadamDunia sekarang orang boleh cakap macam-macam. Kadang -kadang cakap yang kelentongpun orang terima.
BalasPadamBila ada orang nasihat ..dia kata nista macam-macam.
Cuma satu saja. Adalah lebih baik orang nasihat kita sebelum Tuhan nasihat kita.