Ini apa yang diemailkan ke dalam blog ini oleh saudara Zul Ya tanpa sebarang edit saya cuma siarkan saja untuk tatapan semua.
Selangkah ke Putrajaya, jangan asyik buat silap
Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
Dalam perlawanan bolasepak, mana-mana pasukan yang mempunyai kelebihan gol biasanya akan mengutamakan benteng pertahanan dari memikir untuk menambahkan lagi jaringan apabila tiba waktu-waktu terakhir wisel penamat ditiupkan. Perkara yang lebih penting dari itu ialah pasukan mestilah berhati-hati, jangan bermain kasar sehingga dikenakan kad kuning, merah atau penalti.
Wisel pilihanraya umum ke 13 belum ditiupkan, tetapi senario politik menunjukkan pilihanraya semakin hampir. Baki masa yang tinggal sebelum perbubaran Parlimen akan menjadi lebih pendek berbanding tempoh yang telah dilalui.
Dalam situasi yang ada Pakatan Rakyat mempunyai kelebihan dari segi sokongan pengundi muda dan pengundi bukan Melayu. Walaupun jentera utama BN iaitu 3M (money, machinery dan media) masih memihak kepada BN, keputusan dalam setiap pilihanraya kecil yang diadakan masih tidak berbaloi dengan apa yang mereka laburkan. Jika pilihanraya umum diadakan sekarang, belum tentu BN mampu mempertahankan kedudukan mereka di Pusat.
Maka dalam tempoh permainan yang berbaki ini, parti mana pun dalam Pakatan Rakyat sangat perlu berhati-hati dan hendaklah mengelak dari melakukan kesilapan. Kita tidak boleh menyalahkan musuh kerana memanipulasi apa-apa insiden politik, kerana kesan yang berlaku hampir dengan pilihanraya adalah kuat berbanding tempoh yang jauh dari pilihanraya. Maklumlah bukan sahaja Melayu, malah rakyat 1Malaysia adalah bangsa yang mudah lupa akan perkar yang jauh.
Tindakan dan percakapan ahli politik akan menjadi input dalam penilaian rakyat jelata terhadap mana-mana parti politik. Ia menentukan arah kecenderungan rakyat dalam memilih atau membuat keputusan.
Di kesempatan ini, saya ingin menyenaraikan beberapa contoh pembaziran perbuatan dan perkataan yang berlaku di kalangan ahli politik Pakatan Rakyat.
Di saat seluruh kekuatan Pakatan di Selangor digunakan untuk menghadapi percaturan jahat BN, melalui pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri pro Umno, tidak perlu rasanya ADUN Seri Muda Shuhaimi Shafiei membuat apa-apa ulasan mengenai istana dalam konflik tersebut. Ia boleh dimanipulasi. Dalam kaedah politik, tidak bijak untuk mengumpul semua seteru dalam satu masa untuk dihadapi. Lagipun kita tidak mempunyai kekuatan untuk menghadapi pihak tersebut, bahkan tidak menjadi keutamaan langsung untuk ‘melayan’ kerenah mereka. Nah, sekarang tak fasal-fasal musuh berjaya mengalih isu pokok kepada isu lain yang lebih merumitkan. Betul, apa yang dinyatakan Shuhaimi tidak lebih teruk dari penghinaan Umno terhadap raja-raja Melayu pada tahun 1993 tapi soalnya semua media utama masih dikuasai BN dan mereka mempunyai kelebihan untuk memanipulasi isu.
Ramai tertanya-tanya apa perlunya ADUN Komtar, Ng Wei Aik turun bersama penguatkuasa merampas peralatan perniagaan restoran yang didakwa melanggar peraturan. Itu bukan kerja orang politik! Beliau bukan setakat tidak wajar mengarahkan penguatkuasa bertindak, bahkan berada di tempat kejadian pun tidak perlu. Biarkanlah penguatkuasa yang dibayar gaji itu menjalankan tugasnya. Ng Wei Aik adalah Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, lantas dia membawa imej Lim Guan Eng, DAP dan Pakatan Rakyat. Tindakan ahli politik DAP dalam isu yang remeh itu langsung tidak akan menambah undi, bahkan boleh dimanipulasi lawan untuk memburukkan imej kerajaan Pakatan Pulau Pinang.
Dalam menghadapi kemelut di Selangor, Exco Kerajaan Negeri Dr. Halimah Ali memberitahu rakyat seluruh negara bahawa “kami dah tak larat untuk lakukan semua perkara…”. Sungguh tidak wajar pemimpin politik menuturkan perkataan yang begitu pasif. Rakyat sukar nak menghormati sebuah kerajaan yang semacam ‘mengaku kalah’ dalam apa-apa isu pun. Ungkapan yang patut disemarakkan kepada rakyat ialah, “biar patah sayap bertongkat paruh, namun perjuangan tetap kami teruskan!”
Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan memberitahu media bahawa mereka memberi tumpuan kepada pengundi muda dan akan menghantar sekurang-kurangnya 500 ahli Pemuda ke Tenang. Beliau memberi butiran aktiviti yang akan dijalankan satu persatu kepada media. Musuh tahu semua bentuk peluru yang akan digunakan.
Perbuatan Nasrudin mengingatkan kita kepada pilihanraya kecil Lunas tahun 2000. Ketua Pemuda masa itu, Datuk Hishamudin Hussein turun memberitahu bahawa Pemuda BN akan bertemu dengan setiap orang pengundi muda. Selepas itu beliau lesap keluar negeri sedang apa yang dicanang tidak dilakukan pun. Pihak lawan yang mendengar pendedahan strategi BN itu, merancang program balas. Ia antara sebab calon KeADILan, Saifudin Nasution menang di Lunas.
Jadi apa perlu Nasrudin mendedahkan strategi Pemuda PAS kepada musuh? Ini pun satu contoh pembaziran perkataan yang merugikan parti.
Banyak lagi contoh tindakan dan perkataan yang merugikan parti yang dibuat oleh pemimpin Pakatan Rakyat di saat kita cuma selangkah dari Putrajaya. Tersalah langkah boleh memanjangkan jarak perjalanan menjadi lima atau sepuluh tahun.
Ia mengingatkan kita kepada Operasi Lallang Oktober 1987, Ustaz Nakhaie Ahmad dan Ustaz Abu Bakar Chik yang dikatakan tersenarai dalam tangkapan ISA menghilangkan diri ke luar negeri. Mereka tidak kena ISA kerana muncul setelah keadaan menjadi reda. Tapi ada seorang pemimpin PAS yang bersembunyi berhari-hari. Beliau tersalah langkah kerana keluar untuk pulang ke rumah pada masa yang salah, lalu dicekup. Jarak dari tempat persembunyian dengan rumah hanya kira-kira 5 kilometer tetapi mengambil masa dua tahun untuk sampai ke rumah kerana tersalah langkah.-Zul Ya
Langkah ahli parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah yang hadir dalam bantahan novel Interlok juga adakah satu langkah yang bijak walaupun beliau sendiri ada alasannya?Baca di sini , di sini dan di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan