Pengalaman veteran UMNO dan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) dalam perjuangan politik dan pentadbiran negara akan digunakan dalam membuat persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, Mubarak dan veteran UMNO mempunyai peranan penting dalam memastikan Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-13.
Sehubungan itu, jelas beliau, kerajaan menerusi kementerian mengambil pendekatan proaktif dengan memberi latihan pembangunan dan pengurusan media baru kepada Mubarak dan veteran UMNO.
Kata beliau, program tersebut meliputi latihan kemahiran asas dalam mengendalikan media baru seperti laman sosial seperti Twitter, Facebook dan blog supaya faedah melalui perkembangan teknologi maklumat dapat dimanfaatkan oleh ahli-ahli veteran dan Mubarak.
''Menerusi kaedah tersebut, veteran UMNO dan Mubarak dapat memberi pandangan dan fikiran yang membina mengenai isu-isu semasa kepada kerajaan dan masyarakat.
''Justeru, satu pusat maklumat akan diwujudkan bagi menerima dan mengumpul segala data dan maklumat yang diberikan oleh ahli-ahli melalui media baru dan akan disebar terus kepada semua peringkat parti sebagai sumber maklumat terkini,'' katanya pada pelancaran program latihan pembangunan dan pengurusan media baru di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Presiden Mubarak, Tan Sri Wira Ahmad Nordin Md. Amin dan Pengerusi Veteran Majlis UMNO, Datuk Zaid Sirat.
Rais berkata, pendekatan terbaru itu dapat menggarap tenaga orang-orang lama untuk mempertingkatkan kekuatan jentera-jentera pilihan raya BN.
Menurut beliau, dalam usaha itu, kerajaan telah memperuntukkan RM200,000 kepada semua ahli veteran UMNO dan Mubarak di setiap negeri dengan menyediakan komputer riba untuk menjayakan program dan latihan media baru tersebut.-Utusan
Kenapa guna duit kerajaan (duit rakyat) untuk Mubarak belajar guna media baru?Duit rakyat bukan harta Umno yang punya!Guna la duit tabung Umno.Takkan anak muda Umno tak mampu nak lawan anak muda yang tolak Umno? haha
Saya cuma teringat sedutan filem Pendekar Bujang Lapok lakonan Allahyarham P.Ramle apabila Veteran UMno nak belajar guna media baru sebagai perang pilihanraya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan