Ahad, 25 Julai 2010

'Hidung tak mancung , pipi terserong-serong'-TGNA

PAS tidak memerlukan peranan orang tengah jikapun parti Islam itu mahu mengadakan perbincangan dengan Umno mengenai soal penyatuan Melayu, kata Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat malam tadi.

Bagaimanapun Menteri Besar Kelantan ini terus dengan pendirian yang telah dicapai parti itu pada muktamar-muktamar tahunan mereka sejak 2008 bahawa PAS tidak akan menjalin kerjasama politik dengan Umno agar “tangan PAS tidak digigit kali kedua.”

PAS mahu kekal dengan kerjasama dalam Pakatan Rakyat yang turut dianggotai DAP dan PKR, kata beliau.

“Ada orang hendak menjadi orang tengah, mimpi... kalau saya (PAS) mahu, saya boleh jumpa Perdana Menteri, tak perlu (orang tengah),” kata beliau pada majlis ceramah isu-isu semasa anjuran PAS Kuala Terengganu di sini.

“(Ini macam) hidung tak mancung, pipi terserong-serong,” tambah Nik Aziz dengan merujuk kepada tindakan beberapa pihak termasuk Umno yang menimbulkan semula syor kerjasama perpaduan dan penyatuan Umno dan PAS sejak kebelakangan ini.

Pakatan Rakyat yang menurunkan calon PAS memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu daripada penguasaan BN pada pilihan raya kecil Januari 2009.

Malah Nik Aziz berkata, beliau tetap dengan pendiriannya menolak sebarang perbincangan atau kerjasama dengan Umno kerana menganggap parti itu telah menyimpang daripada perjuangan Islam.

Malah Nik Aziz mengulangi bahawa Umno terus menunjukkan minat mahu membincangkan kerjasama dengan PAS selepas menyedari kedudukannya menjadi lemah pada pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu.

“Bila dah kalah baru cari kawan... selepas 13 Mei, (Allahyarham) Tun Abdul Razak datang jumpa PAS, kami ingat ikhlas, sebab saya orang yang paling kuat menerima jemputan (daripada Tun Abdul Razak).

“Tetapi bila sudah gemuk (selesa kedudukan), gigit (tangan PAS)... dia orang (akhbar menulis) PAS keluar (BN), tetapi bukan keluar, tetapi ditendang, macam mana punya wartawan tulis macam itu,” katanya.

Oleh itu dengan merujuk kepada Umno-BN, tambah Nik Aziz, “kami kenal siapa anda.”

“Orang kata kita bodoh, tak mengapa (kali pertama)... tetapi gigit lagi (tangan PAS), kamu memang bodohlah,” katanya Nik Aziz seolah-olah tidak mahu pengalaman lalu berulang dan mahu mengelakkan kerjasama dengan Umno-BN.

PAS menyertai BN pada 1974 dan kerjasama itu berakhir empat tahun kemudian.

Nik Aziz mengatakan demikian ketika timbul semula idea kerjasama politik antara kedua-dua parti berkenaan.-Malaysian Insider Nik Aziz Tidak Mahu Umno-Bn Gigit Tangan Pas Kali Kedua.

1 ulasan:

  1. Salam..
    nak adakan perpaduan dgn PAS bila kepercayaan terhadap UMNO-APCO semakin berkurangan..wallahua'lam

    BalasPadam