Khamis, 8 Disember 2011

Buangkan khurafat tanpa Umno Melayu jadi bangsat dan merempat

Ugutan Najib bukti Umno sedar akan hilang kuasa-Harakahdaily

PAS menyifatkan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Perhimpunan Perdana Persatuan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Isnin lalu sebagai berbaur ugutan kepada rakyat khususnya orang Melayu dan umat Islam.


Ahli jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman  berkata, kenyataan Najib bahawa orang Melayu dan umat Islam mesti menyokong Umno BN jika mahu masa depan yang cerah, jelas bertujuan menimbulkan ketakutan kepada orang Melayu.

Ia sekaligus menggambarkan Umno BN seolah-olah semakin sedar mereka akan hilang kuasa selepas pilihan raya umum ke -13 nanti.

"Ada sesuatu yang tidak sihat daripada ucapan itu. Ada kecenderungan di kalangan pemimpin BN, seolah-olah mereka tak boleh terima kalau mereka kalah dalam pilihan raya.

"Kalau ucapan yang dibuat berbau kekerasan kerana nak pertahankan kuasa, ini sesuatu yang sangat berbahaya," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Mazlan juga berkata, Umno BN sebaliknya harus memberi peluang kepada rakyat untuk membuat pilihan di peti undi, bukan mengugut masa depan mereka menjadi malap sekiranya memilih Pakatan Rakyat.

"Semua pihak sama ada Perdana Menteri ataupun institusi keselamatan seperti polis dan tentera bahkan badan bukan kerajaan seperti Pekida, Perkasa dan sebagainya harus akur dengan mandat yang diberi rakyat.

"Jika dalam pilihan raya umum rakyat beri kepercayaan selain kerajaan yang sedia ada, rakyat harus menghormatinya," katanya.
Tambah Mazlan lagi, beliau yakin ucapan Najib itu mempunyai maksud tersirat iaitu memberi isyarat kepada Pekida agar tidak sekali-kali "belot" dengan parti pemerintah.

Justeru katanya, semua pihak harus berhati-hati dengan ucapan berbaur ancaman dan provokasi itu.

"Saya yakin apa yang diungkapkan Najib ada maksud tersirat yang nak disampaikan kepada pertubuhan seperti Pekida itu.

"Jadi saya harap ucapan yang berbau ancaman dan provokasi ini dapat diteliti oleh pihak polis supaya ini tidak menjadi satu galakan kepada budaya samseng dalam negara kita seperti yang ditunjukkan oleh BN melalui siri gangguan dalam ceramah Pakatan Rakyat yang semakin kerap berlaku," katanya.
Selain itu, tegas Mazlan, ugutan bahawa Melayu akan menjadi bangsa yang bangsat dan merempat jika tidak diperintah Umno BN langsung tidak berasas.

Sebaliknya beliau berkata, nasib Melayu sekarang ini memang sudah tidak terbela angkara Umno sendiri yang mengaut kekayaan untuk kroni mereka.

"Pakatan belum diberi peluang mengambil alih Putrajaya lagi, bagaimana Najib kata orang Melayu akan jadi bangsa yang bangsat, merempat?

"Hari ini pun kalau senaraikan isu orang Melayu, memang dah jadi bangsat pun. Angkara siapa kalau bukan angkara Umno.

"Kononnya kalau bagi kuasa kepada Pakatan Rakyat Melayu akan bangsat, akan merempat, ini kenyataan yang melampau dan tak patut keluar dari mulut Perdana Menteri," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan