Jumaat, 25 November 2011

Mahkamah Tinggi Shah Alam bebaskan 11 OKT Lebuhraya Kesas , tolak rayuan Peguam Negara

Berita melalui email ke dalam blog ini;
Shah Alam, Jumaat 25 NOVEMBER 2011
Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Dato' Abdul Rahim Bin Uda pada hari ini telah menolak Rayuan Peguam Negara dan seterusnya mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Klang untuk membebaskan 11 orang OKT  Kesas dari dua pertuduhan di bawah Seksyen 27 Akta Polis.

Kesebelasan mereka dituduh atas pertuduhan berhimpun secara haram dan engkar perintah polis untuk bersurai.   
Pada tahun 2009 kesebelasan mereka telah dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Klang atas kedua-dua pertuduhan tersebut tetapi kemudian Peguam Negara telah menfailkan rayuan ke mahkamah Tinggi bagi mengenepikan keputusan tersebut. 

Pada hari ini (25 November)  bertepatan  11 TAHUN YANG LALU ...kerana pada tarikh  25 NOVEMBER 2000 mereka dan kira-kira 145 orang yang lain telah ditangkap oleh pihak Polis di beberapa lokasi di Lebuhraya Kesas bagi menghadiri satu perhimpunan yang dipanggil 'Perhimpunan 100 Ribu Rakyat yang dirancangkan berlangsung di satu lokasi di Jalan Kebun, Jalan Klang.    
Hakim Dato' Abdul Rahim dalam penghakiman lisannya pada hari ini menyatakan bahawa antara lainnya bahawa pihak Pendakwaraya gagal 'menimbulkan keraguan munasabah' tentang lokasi sebenar perhimpunan haram tersebut kerana dari beberapa bukti dan kenyataan jelas menunjukkan bahawa lokasi perhimpunan yang dirancangkan ialah di Jalan Kebun tetapi kesemua OKT dan beribu-ribu pengguna-pengguna lain  lebuhraya  tersebut berkumpul secara 'spontaneous' (secara tidak dirancang / secara spontan) di Lebuhraya Kesas disebabkan kesesakan di Lebuhraya tersebut.  

Tegasnya lagi Pendakwaraya juga gagal membuktikan bahawa amaran bersurai oleh pihak Polis menggunakan 'loud hailer' tersebut dapat didengari secara jelas oleh orangramai yang berkumpul di lebuhraya tersebut.

Kesemua OKT diwakili oleh YB Yusmadi Yusoff ( juga ahli Parlimen Balik Pulau, Pulau Pinang) dan Puan Farah Farhana(Gambar di atas).

Antara 11 OKT yang dibicarakan itu ialah Haji Sahri Bahri ( bekas Setiausaha Agung Keadilan), Abdul Razak Ismail, Pembantu Khas Kepada YB Dr. Xavier Jayakumar, EXCO Negeri Selangor dan S. Pusphalingam, ahli Majlis Bandaraya Shah Alam.  

Rata-rata OKT melahirkan rasa kurang senang terhadap sikap "double standard" Kerajaan BN kerana baru semalam (24 haribulan)  Perdana Menteri Najib Tun Razak membentang Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 di Dewan Rakyat bagi 'menghapuskan' Seksyen 27 Akta Polis tetapi dalam masa yang sama Peguam Negara masih bertegas untuk meneruskan pertuduhan tersebut di Mahkamah Tinggi.   


Tiada ulasan:

Catat Ulasan