Selasa, 23 Februari 2010

Saya ada nampak perubahan pada Hasan-Khalid Samad

MP Pas Shah Alam Khalid Samad meminta Pas terus kekal bersama Pakatan Rakyat dan bersikap jujur dalam memantapkan lagi Pakatan Rakyat. Khalid Samad juga merasa lega kerana 'perubahan' telah ada pada diri Hasan Ali PJ Pas Selangor walaupun Hasan Ali hanya diberikan amaran saja oleh JK Disiplin Pas Pusat berbanding Khalid yang digantung semua jawatan dalam parti selama 6 bulan.

Lapor Malaysian Insider;

“Rayuan saya kepada parti, PAS telah gagal dalam memperlihatkan kejujuran dan komitmen mereka dalam memantapkan Pakatan... mereka bukan setakat perlu menunjukkan dalam kata-kata tetapi juga menerusi tindakan mereka... tetapi PAS telah gagal dalam hal ini,” kata Yang Dipertua PAS Shah Alam ini.

Jawatankuasa disiplin mengumumkan keputusannya pada 29 Jan lalu.

Hasan merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor dan Exco Kerajaan Negeri itu manakala Khalid adalah bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri.

Hukuman ke atas kedua-dua wakil rakyat itu merupakan yang pertama dibuat dan mendapat liputan meluas sejak PAS bekerjasama dengan PKR dan DAP membentuk PR selepas pilihan raya umum 2008.

“Bukan saya seorang sahaja yang dinilai tetapi juga parti kerana orang ramai sedang memerhatikan bagaimana kita menguruskan kita (parti sebagai komponen PR),” kata beliau kepada The Malaysian Insider malam tadi.

Yang Dipertua Shah Alam ini yang pulang ke tanah air Jumaat lalu dari Arab Saudi berkata, PAS telah gagal dalam memastikan keadilan dilaksanakan dan kelihatan melaksanakan keadilan dengan sebaik-baiknya.

Khalid mengulangi bahawa beliau tidak akan membuat rayuan terhadap hukuman yang dikenakan ke atasnya kerana lazimnya “ada harga” yang perlu dibuat tetapi gembira kerana matlamat iaitu memastikan Hasan dikenakan tindakan atas kenyataan-kenyataan memperlekehkan kerajaan PR telah berjaya.

“Hukuman saya cuma enam bulan tetapi hukuman ke atas Hasan kekal (selama-lamanya), beliau tidak boleh mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan Pakatan selama-lamanya,” katanya.

Khalid juga gembira kerana ada perubahan dalam nada Hasan sejak November lalu apabila menyentuh kedudukan PR.

“Saya nampak ada perubahan pada Hasan,” kata beliau yang turut yakin bahawa masalah di antara beliau dan Khalid sebenarnya boleh diatasi sejak awal lagi jika pucuk kepimpinan memanggil kedua-dua mereka dan mengadakan perbincangan.

“Bagaimanapun ia tidak dilakukan,” katanya yang mengakui menjejaskan lagi keadaan dan berakhir dengan siasatan jawatankuasa disiplin.

Sehubungan itu beliau merayu kepada kepimpinan PAS agar membuktikan kejujuran dan komitmen mereka kepada PR yang kini dipersoalkan sesetengah pihak.

“Hukuman ke atas Hasan kekal (selama-lamanya),” kata Khalid.

“Rayuan saya ialah PAS membuktikan dengan mengambil tindakan tegas (ke atas mereka yang memudaratkan Pakatan)... ini rayuan saya.

“Dan, jika ini boleh dilakukan mereka (PAS) akan kelihatan lebih komited... saya mementingkan rayuan ini daripada rayuan peribadi saya agar hukuman saya dikaji semula,” katanya lagi sambil menambah, Islam juga mahukan pengikutnya memegang pada kata-kata mereka sebaik sahaja sesuatu janji atau keputusan dibuat.

Ia dirujuk kepada komitmen PAS kepada PR yang akan menyambut ulang tahun keduanya 10 Mac ini di Pulau Pinang.

“Mereka boleh berbuat demikian dengan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba menjatuhkan Pakatan,” kata Khalid.

Dalam hal ini beliau juga merujuk kepada nasihat Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika Muktamar PAS 2008 yang meminta parti itu tidak meletakkan kaki di dua sampan pada masa yang sama.

Menteri Besar Kelantan itu memberikan pandangan sedemikian ketika munculnya isu bahawa PAS, selain berada dalam PR, juga sedang berusaha untuk membina usaha mengadakan perundingan membentuk kerajaan perpaduan bersama Umno-BN.

Nik Aziz merupakan antara pemimpin PAS yang menentang sebarang perbincangan ke arah kerajaan perpaduan.

Malah siasatan jawatankuasa disiplin juga bertolak daripada gesaan beliau agar diadakan Muktamar Khas PAS, yang dikemukakan Oktober tahun lalu untuk memilih barisan kepimpinan baru.

Dalam komennya Khalid juga meminta pemimpin-pemimpin PAS agar sedar dengan aspirasi untuk menjadi sebuah parti arus perdana yang memperjuangkan keadilan, yang terus dipantau oleh para pengundi.

“Kita harus berupaya untuk membuktikan bahawa kita boleh mempertahankan keadilan,” kata Khalid.

Sejak jawatankuasa disiplin mengumumkan keputusannya pada 29 Jan lalu pelbagai reaksi dikemukakan oleh ahli dan pemimpin PAS, antaranya menyifatkan keputusan jawatankuasa disiplin sebagai tidak adil.

Beberapa pemimpin PAS termasuk daripada kalangan sayap pemudanya telah melahirkan tidak rasa puas hati dengan dengan ada yang melabelkan sebagai “wayang” semata-mata.

Penasihat undang-undang PAS Hanipa Maidin pula menggesa jawatankuasa kerja pusat parti itu agar mengkaji semula keputusan jawatankuasa disiplin membabitkan kedua-dua pemimpin Selangor itu, yang telah mencetuskan reaksi tidak senang di kalangan sesetengah pihak.

Sehari selepas jawatankuasa disiplin mengumumkan keputusannya, Exco Pemuda PAS Abdullah Abdul Karim telah mempertikaikan keputusan jawatankuasa disiplin parti itu menggantung Khalid enam bulan sedangkan Hasan hanya diberi amaran.

“Keputusan jawatankuasa tatatertib PAS Pusat menggantung Khalid Samad selama enam bulan dan hanya memberi amaran bertulis kepada Datuk Hasan amat mengejutkan dan tidak boleh diterima sama sekali,” kata beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Pahang.

Reaksi pertama Exco Pemuda PAS itu juga mempertikaikan kredibiliti jawatankuasa disiplin.

Dengan membuat keputusan tersebut, dakwa beliau. jawatankuasa disiplin sama ada disedari atau tidak, telah membenarkan diri mereka dipergunakan untuk melindungi anasir-anasir anti-PR dalam PAS.

Senada dengan pandangan itu Khalid juga berkata, beliau walaupun telah dijatuhkan hukuman digantung jawatan dalam parti selama enam bulan tetapi tidak dinyatakan dengan jelas kesalahan yang dilakukannya.

“Tuduhan mengatakan saya membocorkan rahsia. Saya hanya melahirkan pandangan menerusi blog saya saya bukannya rahsia parti... tiada petunjuk jelas apa yang dimaksudkan dengan rahsia parti (dibocorkan),” katanya.

Anggota Dewan Rakyat penggal pertama ini mengatakan bahawa surat yang dikeluarkan oleh lembaga disiplin hanya mengatakan bahawa beliau didapati bersalah tanpa menunjukkan maklumat rahsia yang kononnya telah dibocorkan.

“Jika saya didakwa sebagai membunuh, sekurang-kurangnya saya akan dimaklumkan siapa yang saya bunuh, bila dan bagaimana ia berlaku,” kata beliau sambil menambah keadaan kini sudah berubah di mana ahli-ahli ‘aktif’ mempersoalkan tindak-tanduk pemimpin parti.

“Kini parti berkembang menjadi parti arus perdana, yang berjuang untuk keadilan kepada semua... bukan sahaja ahli-ahli PAS sendiri, tetapi keseluruhan rakyat dan bukan Islam... mereka bukan lagi mewakili kumpulan masyarakat yang kecil,” katanya.

Justeru kata beliau sudah tiba masanya PAS mengkaji semula tatacara pengendalian kes-kes disiplin supaya kelihatan telus dan ada unsur kebertanggungjawaban, bukannya hanya mencari kelemahan parti lawan.

Kata beliau, proses ke arah siasatan tidak harus diserahkan kepada setiausaha agung semata-mata.

“Ya, perlu ada tindakan bersama seperti jawatankuasa untuk meneliti aduan-aduan yang dikemukakan, yang ditapis sebelum dikemukakan kepada jawatankuasa disiplin,” kata beliau dengan merujuk kepada dakwaan bahawa beberapa laporan kukuh dibuat ahli-ahli parti diketepikan begitu sahaja termasuk kes Abdullah Karim.-Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan