Khamis, 25 Februari 2010

Pemuda Umno Nafi Bagi Penampar Kepada Khoon Leng

Pemuda UMNO negeri menafikan ada ahlinya yang menampar Naib Ketua Pemuda Gerakan negeri, H'ng Khoon Leng pada mesyuarat Pemuda Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.

Ketuanya, Norman Zahalan berkata, dakwaan Exco Pemuda Sosialis DAP negeri, Satees Muniandy bahawa kejadian itu pernah berlaku, ternyata suatu pembohongan.

"Saya nafikan perkara ini berlaku. Ini kerja pakatan pembangkang membuat fitnah, mereka berbohong kepada rakyat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Khoon Leng membuat laporan polis berhubung dakwaan fitnah Satees terhadapnya dalam laman sosial Facebook.

Satees dalam Facebook miliknya, menulis Khoon Leng telah ditampar oleh Pemuda UMNO negeri dalam mesyuarat berkenaan.

Menurut Norman, selama ini tidak pernah berlaku sebarang pertelingkahan di kalangan ahli-ahli semasa mesyuarat Pemuda BN.

"Jika ada pun, ia hanya perselisihan pendapat dan dapat diselesaikan secara muafakat," ujarnya.

Norman menambah, beliau mungkin akan membuat laporan polis dalam masa terdekat kerana menyifatkan dakwaan itu sebagai hasutan-Utusan Malaysia Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan