Rabu, 24 Februari 2010

Salahuddin Ayub dan Sivarasa Disiasat Bawah Akta Hasutan

Lapor Malaysian Insider;

Dua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) dipanggil polis berhubung dakwaan membuat kenyataan berunsur hasutan ketika satu perhimpunan umum di Pulau Pinang awal bulan ini.

Polis menyoal siasat R. Sivarasa dan Salahuddin Ayub, masing-masing Naib Presiden PKR dan PAS di pejabat wakil rakyat di bangunan Parlimen petang ini ekoran ucapan mereka di Seberang Jaya pada 7 Feb lalu.

“Kedua-dua kami disiasat di bawah Akta Hasutan,” kata Salahuddin yang pertama keluar selepas menemui polis.

“Ia kelihatan seperti skrip yang sudah pun disediakan,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian ini selepas ditemui polis kira-kira setengah jam.

Salahuddin berkata, polis menyoal siasat beliau berhubung ucapannya berkaitan dengan isu kalimah “Allah” tetapi enggan menjawab soalan mereka dengan menegaskan haknya di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

Sivarasa, wakil rakyat Subang pula berkata, beliau disiasat kerana menyentuh perbicaraan kes liwat Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang berjalan sekarang.

Beliau menyangkal kenyataan-kenyataannya berunsur hasutan.

“Saya tidak melihat apa-apa masalah bagi saya menjelaskan pandangan saya kepada orang ramai dan memberikan analisis politik agar rakyat boleh membuat rumusan mereka,” kata beliau yang merupakan salah seorang peguam pasukan Anwar.

Malah katanya, ucapan di Pulau Pinang bukan kali pertama menyentuh soal perbicaraan kes Anwar.

Oleh itu beliau mempersoalkan agenda pihak polis menyoal siasat beliau hari ini.

“Saya melihat ini sebagai usaha untuk menakut-nakutkan pemimpin Pakatan dan untuk menghalang kami daripada bercakap... tetapi tugas kami ialah untuk menjelaskan kepada publik tentang isu-isu penting,” katanya.

Selain beliau turut disoal siasat sepanjang tiga bulan yang lalu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Teluk Intan M. Manogaran dan Adun Kota Alam Shah M. Manoharan.

Sivarasa berkata siasatan dijalankan ekoran aduan polis sendiri, yang dibuat oleh Inspektor Irwandi Khirrudin Mohamad Rejal pada 8 Feb lalu dan mencabar polis polis mengenakan tuduhan hasutan terhadap mereka jika pihak berkuasa merasakan mereka benar-benar telah melanggar undang-undang.

Kedua-dua Sivarasa dan Salahuddin diwakili oleh peguam N. Surendran.

Kenyataan mereka direkodkan oleh dua pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Seberang Jaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan