Isnin, 15 Februari 2010

Khalid Samad Kena Merayu- Mustafa Ali

Yang Dipertua PAS Shah Alam Khalid Samad tidak boleh berdiam diri, sebaliknya perlu menulis jika mahu jawatankuasa kerja pusat dan Majlis Syura mengkaji semula hukuman digantung jawatan parti selama enam bulan.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata pihaknya akan menganggap Khalid tidak berhasrat jika enggan mengemukakan rayuan dalam tempoh yang ditetapkan perlembagaan parti.

Khalid mempunyai masa 30 hari untuk mengemukakan rayuan kepada jawatankuasa kerja pusat dan jika ia ditolak, boleh merayu kepada Majlis Syura.

Jawatankuasa kerja pusat sepatutnya bermesyuarat hari ini tetapi ditangguhkan kerana sambutan Tahun Baru Cina.

“Beliau (Khalid) kena merayu... beliau kena tulis, tidak boleh berdiam diri. Kalau beliau tidak menulis (mengemukakan rayuan) bagaimana kami tahu hasrat beliau... jika memberitahu kami, kami boleh putuskan tindakan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

Kata Mustafa, sama ada mahu menyerahkan kepada jawatankuasa kerja pusat atau tidak, Khalid tetap perlu memaklumkan ibu pejabat parti.

“Beliau kena maklum kami, tidak boleh maklum pada media sahaja,” katanya.

Justeru kata Mustafa, beliau akan memaklumkan kepada jawatankuasa kerja pusat “tidak menerima sebarang rayuan bertulis” jika tiada respons daripada Khalid dalam tempoh ditetapkan.

Ibu pejabat parti juga tidak menerima sebarang rayuan daripada Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali yang dikenakan hukuman amaran bertulis oleh jawatankuasa disiplin.

Khalid, Ahli Parlimen Shah Alam, telah mengubah pendirian dengan menegaskan beliau tidak akan membuat rayuan berhubung hukuman yang dijatuhkan oleh jawatankuasa disiplin akhir bulan lalu.

Sebaliknya Khalid menyerahkan kepada jawatankuasa kerja pusat PAS untuk menentukan nasib beliau.

Kata Khalid, jika jawatankuasa kerja pusat merasakan keputusan jawatankuasa disiplin yang dipengerusikan Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak adil, pihak berkenaan yang harus mengkaji semula hukuman itu.

Selain jawatankuasa kerja pusat, Khalid juga boleh merayu kepada Majlis Syura PAS.

Akhir bulan lalu Khalid yang juga anggota Lajnah Politik PAS berkata akan membuat rayuan berhubung penghakiman jawatankuasa disiplin.

Sejak jawatankuasa disiplin mengumumkan keputusannya pada 29 Jan lalu pelbagai reaksi dikemukakan oleh ahli dan pemimpin PAS, antaranya menyifatkan keputusan jawatankuasa disiplin sebagai tidak adil.

Kelmarin, penasihat undang-undang PAS Hanipa Maidin menggesa jawatankuasa kerja pusat parti itu agar mengkaji semula keputusan jawatankuasa disiplin membabitkan dua pemimpin Selangor berkenaan, yang kini mencetuskan reaksi tidak senang di kalangan sesetengah pihak.

Hanipa, Pengerusi Lajnah Guaman PAS memberitahu The Malaysian Insider beliau akan meminta jawatankuasa kerja pusat mengkaji semula penghakiman yang diumumkan agar ahli parti akan melihat keputusan ini sebagai adil dan seimbang.

Khalid didapati bersalah kerana mendedahkan maklumat sulit parti dan mengkritik Hasan.

Hasan pula didapati bersalah mengkritik prosedur tatacara pendengaran Selcat dan pelantikan pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Liow Siew Moi.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim pula berkata terserah kepada Khalid sama ada mahu membuat rayuan ataupun sebaliknya.

Katanya jawatankuasa kerja pusat hanya boleh mengkaji semula keputusan itu jika ada rayuan.

“Keputusan jawatankuasa kerja pusat bergantung pada rayuan. Kalau tidak buat rayuan, itu hak dia,” katanya.

Mengenai pandangan Hanipa pula, Tuan Ibrahim memberitahu beliau selaku anggota jawatankuasa kerja pusat boleh membawa perkara tersebut.

“Beliau adalah anggota jawatankuasa kerja PAS dan beliau boleh membawa kes itu, kita akan bincang... tengok macam mana,” katanya.

Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan