Khamis, 18 Februari 2010

Bubarkan Saja Dun Perak Biar Rakyat Tentukan -Dr Abdul Aziz Bari

Kerajaan rakyat atau kerajaan mahkamah?
- ABDUL AZIZ BARI

Saya tidak akan membincangkan aspek-aspek teknikal keputusan Mahkamah Persekutuan 9 Februari lalu. Pada saya aspek-aspek itu tidak penting bagi rakyat biasa kerana apa yang lebih kritikal ialah kesan keputusan itu kepada kedudukan kerajaan, khususnya, dan demokrasi umumnya.

Aspek teknikal undang-undang digunakan peguam untuk meyakinkan hakim-hakim bahawa pihak yang mereka wakili perlu menang. Bagaimanapun ada kesan akan timbul, baik pihak mana pun dihakimkan menang. Keputusan mahkamah akan memberi sisi dan ruang lingkup baru kepada peruntukan-peruntukan perlembagaan yang berkenaan.

Kes diputuskan Selasa itu memberi kesan langsung kepada Perlembagaan Persekutuan kerana peruntukan dipertikaikan dalam Perlembagaan Negeri Perak itu sama dengan apa yang ada di peringkat Persekutuan. Bahkan apa yang menjadi isu di Perak itu sama dengan kedudukan di seluruh dunia Komanwel yang melaksanakan sistem Demokrasi Berparlimen.

Kes itu boleh memberi kesan buruk kepada Barisan Nasional (BN). Sekarang tidak berlaku kerana entah bagaimana mahkamah tidak melaksanakan undang-undang secara konsisten sebagaimana kita lihat dalam kes mengenai kedudukan Speaker. Apabila melibatkan BN mahkamah semacam mencari jalan untuk menyelamatkannya, sedangkan apabila melibatkan kedudukan Pakatan Rakyat lain pula jadinya. Sepatutnya undang-undang dilaksanakan tanpa melihat bulu; siapa pun terkena, undang-undang tidak akan membantu. Saya sebutkan kes mengenai Speaker ini kerana krisis di Perak turut melibatkan kedudukan dan kuasa Speaker.

Berbalik kepada isu Menteri Besar dalam keputusan itu, saya sering mengatakan kerajaan atau eksekutif dalam sistem Westminster seperti Malaysia adalah milik Dewan. Ini kerana ia tidak dipilih secara langsung melalui pilihan raya terbuka seperti di Amerika Syarikat. Sebaliknya dilantik ketua negara atau ketua negeri daripada kalangan ahli Dewan: inilah caranya Perdana Menteri atau Menteri Besar atau Ketua Menteri dilantik.

Meskipun kuasa melantik itu adalah budi bicara, tidak bermakna Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang di-Pertua Negeri boleh berbuat sesuka hati dan melantik kerajaan mengikut selera mereka. Dalam suasana politik sekarang, parti-parti politik telah menentukan siapa patut mengetuai kerajaan yang mereka bentuk. Sebab itulah dalam konteks UMNO dan BN umpamanya, kepemimpinan dalam parti itu menentukan siapa jadi Perdana Menteri dan Menteri Besar umpamanya. Ini telah kita lihat secara konsisten selama lebih 50 tahun ini. Ertinya Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja dan para Yang di-Pertua Negeri mengikut sahaja apa yang dipersembahkan pemimpin politik.

Sememangnya begitulah dan itulah yang berlaku di United Kingdom yang merupakan asal dan prototaip kepada sistem kita amalkan ini. Yang bertempur orang politik, yakni Perdana Menteri Gordon Brown, memimpin Parti Buruh dan David Cameron, memimpin Parti Konservatif. Kita tidak mendengar penglibatan atau peranan Baginda Ratu Elizabeth meskipun beberapa minggu ini kita membaca bahawa ada kemungkinan berlaku keadaan di mana tidak ada parti menang dengan majoriti cukup dalam pilihan raya umum Mei ini.

Kalau itu berlaku di Malaysia kita akan sibuk membincangkan peranan dan kuasa istana. Tetapi di United Kingdom mereka menyinggung peranan dan sikap parti-parti lain yang boleh mempengaruhi pembentukan kerajaan, khususnya Parti Liberal Demokrat.

Salah satu perkara yang ditekankan Mahkamah Persekutuan dalam keputusan tersebut ialah sokongan majoriti boleh ditentukan dengan melihat faktor-faktor di luar Dewan. Hal ini timbul kerana kedudukan Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Nizar ketika itu dipersoalkan. Mahkamah menolak hujah Nizar yang mengatakan keadaan itu perlu dibuktikan dengan mengadakan undi tidak percaya di dalam Dewan. Pada mahkamah ini bukan satu-satunya cara kerana ia boleh dibuktikan dengan cara lain. Pendekatan ini tidak salah.

Bagaimanapun ia juga tidak betul seratus peratus. Apalagi di dalam keadaan dan senario yang berlaku di Perak pada hujung Januari dan awal Februari 2009 itu. Saya berpendapat adalah lebih baik jika ia diputuskan Dewan melalui undi tidak percaya atau bubarkan sahaja Dewan supaya pilihan raya baru dapat diadakan. Dalam keadaan kalut dan mengelirukan itu adalah lebih selamat dan muktamad jika keputusan dibuat rakyat sendiri. Biar mereka menentukan.

Di sinilah perlunya undang-undang mengambil kira ketelusan dan perlunya institusi lain, termasuk istana, tidak terlibat dan terseret dalam politik. Ini menuntut perlunya peruntukan Perlembagaan dilihat dalam konteks yang ada. Bukan dilihat dengan cara yang rigid dan terpisah dari apa yang berlaku. Sebenarnya mahkamah sendiri pun, dalam beberapa kes terdahulu, pernah mengambil pendekatan sebegini. Tetapi dalam krisis di Perak ini saya fikir semua orang tahu mengapa istana dan kemudian mahkamah mengambil pendekatan yang rigid tadi.

Pertimbangan itulah yang sebenarnya perlu diambil kira. Hanya dengan itu sahajalah kita dapat memutuskan kes mana patut diikut. Sama ada kes Adegbenro (1963) yang membolehkan sokongan majoriti ditentukan di luar Dewan atau kes Stephen Kalong Ningkan (1966), dibuat melalui undi tidak percaya.

Kedua-dua kes dari Nigeria dan Sarawak itu mempunyai sebab dan senarionya tersendiri. Kedua-duanya boleh digunakan dengan syarat kita sentiasa ingat sifat kerajaan di dalam sistem kita; khususnya sifat demokratik kerajaan itu. Ibarat mengambil hukum; kita perlu tahu sebab dan latar belakang sesuatu kaum itu. Bukan main pakai untuk mengesahkan kedudukan dan kepentingan kita. Sesiapa yang pernah mengerjakan haji tentu faham mengapa di sana, sewaktu tawaf umpamanya, kita tidak memakai mazhab Shafie dalam soal pembatalan wuduk.

Ini yang gagal dihuraikan lima hakim dalam keputusan dua minggu lalu itu. Saya berasa aneh apabila mereka hanya mengeluarkan satu penghakiman sahaja. Saya menduga bahawa mereka, meskipun sepakat dalam soal keputusan akhirnya, tentunya mempunyai sisi-sisi tertentu perlu dihuraikan. Tetapi ini tidak berlaku dan menyebabkan undang-undang perlembagaan kita berundur ke belakang hari itu.



* Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah mengajar undang-undang selama lebih 20 tahun.

Dipetik daripada Sinar Harian Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan