Rabu, 17 Februari 2010

BN Kelantan edar risalah burukkan Ku Li di sekolah

Lapor Malaysian Insider


Barisan Nasional (BN) Kelantan dipercayai menggunakan agensi pelajaran negeri untuk menyebarkan risalah di sekolah-sekolah bagi memburuk-burukkan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah ekoran pendirian beliau bahawa Kelantan berhak menerima royalti petroleum sebanyak lima peratus.

Beberapa guru yang dihubungi The Malaysian Insider mengesahkan pihaknya ada menerima risalah berkenaan sejak seminggu lalu terutama selepas Tengku Razaleigh berucap pada satu forum mengenai isu pertikaian wang royalti di sini bulan lalu.

“Ya, memang risalah itu telah diedarkan... ramai guru dapat risalah yang memburuk-burukkan Tengku Razaleigh. Bahkan ramai juga murid-murid yang dapat risalah ini,” kata seorang guru sebuah sekolah yang terletak di Kota Baru.

“Kalau tak silap saya, risalah ini keluar tidak berapa lama (hari) selepas Tengku Razaleigh mengadakan ceramah royalti di stadium (bulan lalu),” kata guru berkenaan yang tidak mahu namanya disiarkan.

Dia memberitahu ada pihak tertentu yang telah menghantar risalah berkenaan ke sekolah untuk diedarkan kepada tenaga pengajar dan murid-murid.

Seorang pemimpin Umno bahagian ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, pihaknya akan mengedarkan risalah ini ketika ceramah royalti anjuran Umno Jumaat ini.

Ceramah akan disampaikan oleh Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed, timbalannya Datuk Dr Awang Adek dan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Risalah itu memuatkan pandangan Tengku Razaleigh bulan lalu dan juga ketika di Parlimen pada tahun 2000 dengan tajuk besar "Ku Li tipu rakyat, Tok Guru Kena Tipu Pulak!"

Gambar Tengku Razaleigh dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga dimuatkan pada risalah itu.

Sementara itu rakan kepada guru tersebut pula memberitahu Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) seolah-olah telah dipergunakan untuk memainkan peranan tersebut.

“Sebab pegawai-pegawai dari JPN bahkan PPD (Pejabat Pelajaran Daerah) ada bercakap pasal ini. Kalau hendak dikira itu tidak berkait langsung dengan bidang mereka,” kata guru berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Awi.

Sambil itu beliau memaklumkan satu pertemuan dinamakan Persidangan Kebangsaan Pengetua-pengetua Sekolah Menengah Malaysia (PKPSM) telah diadakan di salah sebuah hotel dekat sini 1 Feb lalu.

Perkara yang disentuh pada pertemuan tidak pasti tetapi ia dihadiri oleh Mustapa sendiri.

Difahamkan selepas persidangan berkenaan satu perjumpaan khas Mustapa bersama pegawai JPN dan pengetua-pengetua sekolah turut diadakan.

“Pada perjumpaan khas itu memang ada bercakap pasal royalti. Setakat itu saja dapat saya beritahu. Dan, pengedaran risalah memburuk-burukkan Ku Li itu memang ada.

“Orang tengok pun pelik kan, majlis guru-guru atau Jabatan Pendidikan tapi Tok Pa (Mustapa_ yang hadir. Kalau orang tahu nampaklah agenda politik,” katanya.Baca lanjut di sini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan