BAGAN PINANG, 10 Oktober - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi amaran kepada Umno-BN agar berfikir dua kali untuk meneruskan taktik jahat dan ganas ini dalam usaha untuk mempertahankan kerusi Dun Bagan Pinang yang disandang mereka sebelum ini. "Sedangkan Saidina Umar al-khattab dan Khalid Ibnu al-walid yang sebelum itu merupakan seorang yang bengis dan kejam pun akhirnya menjadi penyokong dan sahabat setia Rasulullah, inikan pula kita di zaman ini. "Manusia tidak boleh hidup dengan bersikap degil dan keras, sebaliknya kita perlu hidup dengan ilmu dan akal fikiran untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik," demikian ujarnya ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah di Batu 4, Kampung Sirusa, Bagan Pinang, Port Dickson malam tadi. Beliau menyifatkan tindakan sesetengah pihak yang menggunakan keganasan sebagai cara untuk menang dalam pilihan raya merupakan suatu taktik lama yang menjadi amalan sejak tahun 1960-an. "Ini adalah kerja orang-orang pada zaman dahulu, dan ini adalah kaedah primitif kerana Islam tidak pernah mengajar keganasan," katanya. Menteri Besar Kelantan itu menyifatkan mereka yang mengambil kaedah menggunakan keganasan sebagai suatu jalan untuk mencapai suatu kehendak adalah golongan yang memiliki minda yang tidak mahu berubah. Ustaz Nik Aziz menempelak mereka yang menggunakan pukulan dan serangan fizikal sebagai jawapan kepada persoalan yang ditimbulkan kerana ia adalah suatu tindakan yang primitif. "Orang yang intelektual akan menerima sebarang kesilapan malahan Islam mengajar umatnya mengambil kaedah intelektual, sama ada melalui kaedah ceramah, berdebat dan sebagainya," ujarnya lagi. Sambil menyatakan kemungkinan Umno-BN kian terdesak untuk memenangi pilihan raya kali ini sehingga sanggup menggunakan taktik keganasan, Menteri Besar Kelantan itu juga menyifatkan kemenangan yang diperolehi tidak berpanjangan. "Kemenangan yang diperolehi mereka dengan menggunakan kaedah ini tidak membawa ke kubur," katanya lagi. Kehadiran beliau di Bagan Pinang menarik perhatian penduduk persekitaran sehingga menyebabkan kesesakan jalan raya kerana masing-masing berpusu-pusu menuju ke program berkenaan. kira-kira 2,000 orang ramai membanjiri perkarangan rumah Encik Zainal yang menjadi tempat program ceramah diadakan.
prkn31baganpinang.pas
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan