Isnin, 1 Mac 2010

Bagaimana Adik PM dapat kekayaan RM385 juta?

Dzulfikar Mashoor
BUKIT MERTAJAM, 1 Mac: Kedudukan Datuk Nazir Tun Razak, iaitu adik kepada Perdana Menteri Malaysia disenaraikan sebagai antara 40 individu terkaya di Malaysia seperti yang dimahsyurkan oleh majalah Malaysia Bisnes sebelum ini masih dipersoal.

Berdasarkan laporan Malaysia Bisnes berhubung pegangan saham di Bursa Saham Malaysia yang dibuat pada 15 Januari lalu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mempersoal kedudukan Nazir tersebut adakah disebabkan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Kumpulan CIMB.

“Kumpulan CIMB tersenarai dalam Bursa Saham Malaysia dan Nazir adalah CEOnya.”

“Adakah kekayaan yang dimiliki oleh seorang adik Perdana Menteri ini adalah kekayaan yang dikaitkan dengan kumpulan CIMB itu sendiri,” soalnya.

Beliau bertanya sedemikian berdasarkan kaedah biasa yang diamalkan oleh korporat, iaitu perlantikan seseorang CEO berasaskan pada pegangan syer saham terbesar dalam sebebuah syarikat.

“Kalau ikut kaedah yang diguna, untuk mengenal pasti kekayaan seseorang (adalah) berdasarkan pegangan syer di dalam syarikat yang tersenarai ini, bermakna Datuk Nazir memiliki sejumlah pegangan di dalam Kumpulan CIMB.”

Ekoran itu, beliau berkata, kedudukan Nasir juga boleh ditentukan berasaskan kedudukan kumpulan CIMB sendiri dalam Bursa Saham Malaysia.

“Seperti yang dinyatakan (Malaysia Bisnes), kekayaan Datuk Nazir dinilai dari jumlah pegangan syer beliau dalam syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Malaysia (maka) syarikat yang dimaksudkan sudah tentulah Kumpulan CIMB,” jelasnya.

Persoalan yang dibangkitkan itu sekaligus mendorong Mahfuz mempersoal kedudukan CIMB sendiri sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Setahu saya, (kumpulan) CIMB adalah syarikat kaitan kerajaan (GLC) dan Datuk Nazir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB.

“Isunya sekarang, selain pemegangan syer terbesar oleh adik Perdana Menteri itu, apakah pula status terbaru CIMB sekarang? Adakah Kumpulan CIMB masih (berstatus) sebagai syarikat kaitan kerajaan (GLC),” soal beliau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menegaskan bahawa rakyat berhak diberi penjelasan tentang status terkini kumpulan CIMB tersebut kerana syarikat tersebut berasal dari Bank Bumiputera, iaitu sebuah bank yang ditubuhkan oleh kerajaan sendiri.

“Walaupun Nazir adalah inividu yang memiliki pegangan saham terbesar, adakah kerajaan sendiri memegang syer terbesar (golden syer) dalam kumpulan CIMB pada masa yang sama,” soal beliau lagi.

Beliau juga secara berjenaka, mempersoal kaedah adik Perdana Menteri Malaysia menguruskan kumpulan CIMB sehingga disenaraikan antara 40 individu yang terkaya di tanah air.

“Adik Perdana Menteri dibayar gaji berapa oleh CiMB, bila Nazir mula menjadi pemegang saham terbanyak, daripada mana dia dapat duit kerana tiba-tiba beliau memiliki kekayaan RM385 juta.

“Ini sudah boleh dianggap pelik bin ajaib, bukan lagi adik Perdana Menteri Malaysia,” ujarnya

Harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan