Rabu, 17 Mac 2010

Ramli Yusuf Bebas, Musa Hassan Tersingkir

Tan Sri Musa Hassan akan digantikan sebaik sahaja kontrak beliau sebagai Ketua Polis Negara tamat September depan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata proses peralihan telahpun bermula.

"Saya tahu siapa yang akan menggantikan KPN. Saya juga tahu siapa yang akan menggantikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah. Saya juga tahu siapa yang akan menggantikan siapa, maka dengan itu tidak perlulah kita berspekulasi," kata Hishammuddin di Parlimen 15 Mac lalu.

Sabtu lepas, Musa terpaksa menafikan laporan akhbar China Press yang mendakwa beliau meletak jawatan.

Tindakan berkenaan menguatkan spekulasi terdapat usaha terancang menyingkirkan beliau sebagai Ketua Polis Negara.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata perkara itu berlaku kerana kegagalan Musa dalam membanteras kadar jenayah yang semakin tinggi dan hubungkait Musa yang dikatakan terlibat dalam kegiatan jenayah serta kongsi gelap.

"Saya percaya adanya usaha daripada pihak kerajaan supaya beliau dipecat daripada tugasnya sebagai Ketua Polis Negara dan perkara ini dikuatkan dengan pendedahan serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di rumahnya baru-baru ini yang menemui sejumlah besar wang. Sehingga sekarang perkara ini tidak dinafikan Musa," ujarnya.

Kata Shamsul penafian itu merupakan strategi Musa untuk kekal berkuasa sebagai KPN supaya segala perlakuan rasuah dan jenayah yang dilakukan selama ini tidak diketahui umum.

Perkara itu dikuatkan lagi dengan pembebasan bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Ramli Yusuf di Mahkamah Sesyen daripada dakwaan tiga kes gagal mengisytiharkan harta miliknya.

Beliau dituduh gagal mengisytiharkan pemilikan 20,000 saham Telekom Malaysia Berhad, 154,000 saham Permaju Industries Berhad dan hartanah pejabat bernilai RM1,032,840.

Hakim M Gunalan memutuskan pendakwa raya telah gagal dalam membuktikan kes prima facie terhadap Ramli apabila dituduh dan digantung perkhidmatan pada 2007.

Ramli, 58, yang juga pegawai ketiga tertinggi dalam hirarki Polis Di Raja Malaysia sebelum ini mengaitkan Musa dalam kegiatan jenayah dan kongsi gelap.

Pada 2007 Ramli mendakwa beliau dan pegawainya menjadi mangsa konspirasi setelah jabatan yang diketuainya bertindak menyiasat kongsi gelap dan kegiatan bawah tanah membabitkan ahli perniagaan Johor, Goh Cheng Poh atau Tengku yang turut dikaitkan dengan Musa.

Menurut Shamsul bukan satu kebetulan apabila Musa menafikan beliau meletakkan jawatan, sehari selepas Ramli Yusuf dibebaskan daripada tuduhan tersebut.

Dalam perkembangan yang sama, dilaporkan Ramli akan melapor diri untuk bertugas dalam masa terdekat.

Suara-Keadilan.com

1 ulasan:

  1. Salam..

    umpama ketam mengajar anak berjalan...ketua yg sepatutnya mengajar dan memantau juga berbuat perkara yg sama..cam nelah org di bwh nak lakukan perkara yg baik jika pimpinan yg atas ajar perkara yg tak baik...wawahua'lam...

    BalasPadam