Sabtu, 20 November 2010

Memali : Kami nak dedah tindakan Umno jadikan Pas 'kambing hitam'

PAS berharap sambutan 25 tahun memperingati peristiwa berdarah Memali selama tiga hari yang bermula malam tadi akan membuka mata generasi muda terhadap kezaliman kerajaan pusat di bawah pimpinan Umno, kata Naib Presidennya Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kedah berkata, kesemua mereka yang terbabit — yang terbunuh dan ditahan — dituduh oleh kerajaan pusat sebagai pengkhianat agama, penentang kerajaan dan pelampau kerana rata-rata mereka adalah aktivis PAS.

“Generasi muda, saya ingat ramai yang tak tahu atau mendapat maklumat yang tidak sahih berhubung peribadi Ibrahim Libya serta peranan pusat pendidikan Islam yang diasaskannya.

“Generasi muda ini wajar diberitahu tentang kemuncak kezaliman yang dilakukan oleh Umno pada 1985,” kata Mahfuz ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Ibrahim Mahmud yang lebih popular dengan panggilan “Ibrahim Libya” serta 13 pengikutnya terbunuh ketika menghadapi lebih 3,000 anggota polis.

Seramai 35 pengikut yang lain ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kononnya mengangkat mengangkat senjata memerangi kerajaan pusat. Peristiwa tersebut turut mengorbankan empat anggota polis.

Polis memanggil operasi itu sebagai Operasi Angkara/Operasi Hapus.

Peristiwa ini terjadi ketika Tun Musa Hitam ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri. Ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri berada di China.

Peristiwa ini berlaku di Kampung Memali yang terletak di mukim Siong, Baling — daerah yang dikaitkan dengan pertemuan berseajrah antara Almarhum Tunku Abdul Rahman dengan Chin Peng dari Parti Komunis Malaya pada 1955.

Baling dikejutkan lagi pada tahun 1974 berikutan insiden kebuluran pada era Anwar Ibrahim menjadi pemimpin pelajar. Seterusnya Baling dikejutkan dengan Peristiwa Memali.

Menurut Mahfuz, kehilangan jiwa yang dialami mereka yang terbabit sebenarnya bukanlah disebabkan mereka itu pengganas atau mengangkat senjata menentang kerajaan.

Tetapi dakwa Mahfuz, mereka yang terbabit dijadikan “kambing hitam” oleh kerajaan pusat demi menutup beberapa kelemahan Umno dan Barisan Nasional.

“Mereka (Umno) cuba mengalih tumpuan rakyat dari melihat kelemahan mereka. Memali pada sesetengah pandangan dari kita hanya kambing hitam.

“Perkembangan Islam di Memali dianggap ancaman pada Umno sebagaimana Umno melihat PAS sebagai ancaman padanya,” ujar Mahfuz lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan cakap-cakap umum kononnya perayaan jubli Perak ini demi menenggelam beberapa kemelut politik yang melanda pentadbir Umno pada ketika itu.

“Tak timbul mengapa dibuat sekarang sebab setiap tahun kita buat, istimewanya pada tahun ini kerana sambutan sempena 25 tahun.

“Kalau dahulu pun Umno memutar belit tentang isu Memali, sekarang pun Umno akan buat lebih dari itu kerana ia fobia dengan Islam dan kepimpinan Islam,” tambahnya.

The Malaysian Insider difahamkan selama tiga hari ini, karnival Memali sarat dengan aktiviti seperti ijtimak guru dan pelajar pondok, konvoi Pemuda PAS, persembahan nasyid, tahlil perdana, klinik smart solat, pameran gambar tragedi berkenaan, pameran jabatan pendidikan negeri, dan ceramah perdana.

Lebih pada itu, pantomim mengisahkan rakyat Palestin turut akan dipentaskan bagi memberi kesedaran kepada rakyat.

Perasmian pembukaan malam tadi disempurnakan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadiri perhimpunan malam ini.Baca lagi di sini.

1 ulasan:

  1. Aaron Sharon , tubuhnya berlumuran darah umat Islam Palestin yang dibunuhnya kini sedang koma lebih daripada 5 tahun....Alalah Maha Berkuasa.

    Memali, sejarahnya mirip seperti Palestin telah diserang dan dilakukan pembunuhan beramai-ramai dengan tanpa mendapat sedikit pembelaan pun.

    Insyaallah, mari kita doakan agar Allah menunjukkan kekuasaanNya..kunfayakun!!

    BalasPadam