Khamis, 18 November 2010

Badan Peguam Antarabangsa Mahu Putrajaya Mansuh ISA


Institut Hak Asasi Manusia Persatuan Peguam Antarabangsa (IBAHRI) menggesa kerajaan Malaysia memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang berusia lima dekad, atas alasan penggunaannya melanggar lunas perundangan dan hak asasi manusia di sebuah negara demokrasi.

Badan antarabangsa itu berkata, perbicaraan ke atas blogger berkontroversial Raja Petra Kamarudin , yang dua tahun lalu ditahan di bawah ISA, menunjukkan Malaysia menggunakan undang-undang sedemikian bagi mengekang kebebasan bersuara.

Penggunaan ISA oleh Malaysia telah menghalang hak-hak individu untuk mempertahankan diri dan selain meletakkan kuasa arbitari mutlak pada pihak kerajaan, kata Martin Solc, pengerusi bersama IBAHRI yang berpejabat di London, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

“Proses yang sewajarnya dan hak-hak untuk mempertahankan diri adalah komponen penting lunas perundangan, yang merupakan asas bagi sesebuah negara demokratik,” kata beliau.

Sehubungan itu tegas beliau, sebagaimana ditunjukkan oleh laporan perbicaraan Raja Petra, akta berkenaan mengekang kebebasan bersuara.

IBAHRI baru-baru ini menghasilkan laporan bertajuk “Malaysia: The Delicate Balance Between Security and Due Process”, yang boleh diperoleh dari laman www.ibanet.org, berdasarkan pemantauan terhadap penahanan dan perbicaraan editor Malaysia Today itu.

Dalam ringkasan laporan, persatuan itu mendakwa ISA kini digunakan untuk menahan seseorang untuk tempoh yang tidak terhad, mengekang hak seseorang untuk melalui proses perundangan sewajarnya dan perbicaraan adil, menghukum seseorang bagi kesalahan yang bukan ditahan awalnya dan mereka yang ditahan pula tidak dibicarakan.

IBAHRI, yang sebahagian daripada Persatuan Peguam Antarabangsa (IBA) yang berusia 63 tahun mempunyai 40,000 ahli di seluruh dunia berkata, telah menghantar saranan agar ISA dikaji semula tetapi mahu pentadbiran Najib memansuhkan undang-undang itu.

Kumpulan itu berkata, tindakan sedemikian akan memastikan kesemua rakyat Malaysia dilindungi daripada salah guna akta sedemikian, yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.-The Malaysian Insider.

1 ulasan:

  1. mALAYSIA Negara demokrasi xmbenarkan hak bersuara tpi membenarkan hak berhibur sehinggakan ingin majdikan negara Malaysia sbg hab hiburan walmaksiat...

    BalasPadam