Jumaat, 13 April 2012

Demam! demam! Altantuya jadi Amina Abdullah

Tentu ada yang tidur tak lena, makan tak lalu, mandi tak basah apabila isu Altantuya kembali bergema di negara ini.Ceritalah pasal wasatiyyah, transformasi dan macam-macam  lagi pembaharuan ekonomi tapi bila nama Altantuya jadi Amina Abdullah tentu rakyat mahu tahu lebih lanjut.Demam Altantuya ni ibarat orang demam tak kebah-kebah.Ingat dah habis rupa-rupannya kisah Altantuya belum tamat.

Kita nak buat orang lain jadi demam tapi Haji Najib juga demam tak lega-lega.Adakah Hajah Bik Mama juga demam?Bapa Amina Abdullah , Shaariibu dakwa Altantuya juga pernah bergambar bersama Haji Najib dan Razak Baginda.Saja nak tanya bila pulak Altantuya masuk Islam?
Visa Altantuya bergema jadi isu pilihanraya
Pilihan raya akan datang akan bergema dengan isu visa yang diberikan di negara ini kepada Altantuya Shaariibuu untuk memasuki Perancis, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar .

"Bapa Altantuya mendedahkan bahawa anaknya itu telah memberitahunya bahawa Abdul Razak Baginda telah meminta bantuan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) yang pada masa itu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, dan Altantuya akhirnya diberikan visa untuk pergi ke Perancis dengan menggunakan nama Amina Abdullah," katanya.

Malaysiakini melaporkan, bapa Altantuya, Setev Shaariibuu mendedahkan kesemua itu berlaku antara 2004 dan 2005, sebelum Altantuya dibunuh dan mayatnya diletupkan dengan bom C4 pada tahun 2006.

Mahfuz menegaskan, sekadar penjelasan semata-mata mengenai pendedahan itu adalah tidak memadai dan tidak boleh diterima.

"Kalau penjelasan semata-mata, tentulah Perdana Menteri akan memberikan penjelasan yang menyebelahi dirinya.

"Kalau penjelasannya meragukan sekalipun, media-media di bawah kawalannya tentu akan mencanang-canangkan kononnya itu adalah penjelasan tanpa sebarang keraguan," katanya.

Sebab itulah, kata Mahfuz, pendedahan Setev itu memerlukan tidak kurang dari siasatan sebuah badan bebas yang tidak boleh dipengaruhi atau ditakut-takutkan oleh Perdana Menteri dan kerajaannya.

"Persoalannya, banyak perkara yang berbangkit dari tuduhan itu termasuk elemen jenayah.

"Bila Altantuya diberikan visa dengan menggunakan nama Amina Abdullah, tentulah wujud pasport antarabangsa atas nama tersebut.

"Siapa arahkan pemberian pasport atas nama tersebut kerana Jabatan Imigresen Malaysia tidak mungkin bertindak sendirian tanpa sebarang sebab dan suka-suka memberikan pasport kepada Altantuta dengan menggunakan nama Amina," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Orang yang mengarahkan kesemua itu dan memaksa perkara itu dilakukan, kata Mahfuz, telah melakukan jenayah.

"Kita mahu percaya bahawa Najib tidak terlibat dengan apa jua proses dalam pemberian visa kepada Altantuya atas nama Amina Abdullah.

"Hanya satu cara sahaja untuk kita mempercayainya iaitu dengan menubuhkan badan siasatan bebas untuk menyiasat perkara itu," katanya.

Jika tidak, kata Mahfuz, perkara tersebut akan menjadi salah satu isu utama yang mesti dijawab oleh Najib, terutama dalam pilihan raya akan datang.

"Jika beliau enggan menubuhkan badan bebas untuk membersihkan namanya dari dikaitkan dengan pemberian visa itu, ia boleh mengakibatkan Najib dilihat telah melakukan jenayah.

"Kita lihat sahaja nanti apa terjadi apabila Najib yang dilihat telah melakukan jenayah memimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya akan datang," katanya.

Malaysiakini melaporkan, pegawai kementerian luar Mongolia hairan bagaimana Altantuya mendapatkan visa itu ketika berada di Malaysia.

Beliau memberitahu, warganegara Mongolia tidak boleh mendapatkan visa untuk memasuki Perancis ketika berada di Malaysia.

Pegawai itu, yang berada di Malaysia bersama bapanya Setev berkata, setiap warganegara Mongolia mesti memohon dan mendapatkan visa asing di negara mereka sendiri.

"Tiada cara untuk sesiapa pun daripada kami mendapatkan visa ketika berada di negara lain.

"Kami akan diberitahu supaya kembali ke negara kami untuk memohon mendapatkannya," kata pegawai yang enggan namanya disebut itu kepada Malaysiakini-Harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan