Khamis, 5 Mei 2011

Fasisme Umno dan ugutan kepada masyarakat Tionghua

Melalui email tanpa edit;

KEADILAN Selangor merujuk kepada artikel The Malaysian Insider pada 1 Mei 2011 berjudul “Choose MCA or be left out of government, Najib tells Chinese” atau “Pilih MCA atau akan diketepikan daripada Kerajaan, Najib beritahu Kaum Cina”.

KEADILAN Selangor memandang berat ugutan politik ini dan bersetuju bahawa ia merupakan 'bukti tanpa keraguan' sikap pembohong dan pengkhianat UMNO dalam memperjuangkan kepentingan rakyat tanpa mengira kaum malah membuktikan sikap ‘talam dua muka’ Najib Razak yang kononnya memperjuangkan konsep 1Malaysia.

Apakah rakyat Malaysia umumnya dan masyarakat Tionghua khasnya akan kecut perut, takut dan akhirnya mengalah dengan teknik Politik Ugutan? Sudah hilangkah politik bersandarkan daya hujah? Politik yang berasaskan kaedah keupayaan memperkayakan rakyat? Apakah politik di Malaysia ini begitu kotor sehingga hilang segala kewarasan untuk berdebat secara ilmiah dan tanpa emosi?

Hakikat sebenar, Najib Razak dan UMNO sudah lama menjalankan ‘Politik Peras Ugut’. Kisah pilihanraya di Sibu, Sarawak terkenal dengan ungkapannya ‘You help me, I help you’; kemudiannya pilihanraya kecil di Hulu Selangor apabila Najib yang sentiasa tiada segan silu menyatakan jutaan ringgit akan diberikan kepada sekolah di Taman Rasa sekiranya ‘Ustaz’ Kamalanathan memenangi pilihanraya tersebut. SPRM dan Polis diam seribu bahasa. SPR yang sewajarnya bertindak tergamam sampai hari ini.

Sikap SPRM dan Polis itu sudah memang dijangka dan menyakinkan Pakatan Rakyat, apabila kuasa memerintah kembali kepada rakyat, dua institusi ini dirombak, disusun semula dan dibebaskan daripada ugutan dan tindakan politik, lantas memastikan kebebasan badan-badan penguatkuasaan kerajaan.

Dulu, kini dan selamanya UMNO akan bergelumang dengan najis rasuah, arak dan segala bentuk kegelojohan, dan mereka menjangkakan bahawa semua orang seperti mereka.

Umum mengetahui UMNO sudah lama terbabit mengamalkan politik ugutan. Mudah sahaja menyenaraikan disini contoh-contoh politik ugutan UMNO:

1. Apabila dengan orang Melayu, dikatakan Melayu perlu bersatu menghadapi ‘kekuasaan Cina’;

2. Apabila dengan golongan Cina dan India, dikatakan kita semua perlu bersatu menentang ‘Islam yang suka memotong tangan’;

3. Apabila pilihanraya kecil diugut penduduk tempatan bahawa ‘pembangunan tidak akan sampai’ terutamanya dikawasan pendalaman;

4. Apabila kerajaan negeri tumbang, maka duit pembangunan tidak dibayar; dan

5. Apabila memberi bonus atau gratuiti, UMNO mengugut tidak akan memberinya lagi sekiranya mereka kalah dalam pilihanraya.

Masalahnya ialah MCA dan MIC. Tidak boleh di tolak anggapan umum rakyat lain, bahawa mereka seperti peminta sedekah yang mahukan hak sama-rata, mahukan kedamaian dan ketenangan hidup diatas bumi yang sama, dibawah langit yang sama. Namun cara mereka salah. Mereka sangka bahawa hanya bersama UMNO impian mereka akan menjadi kenyataan, hanya bersama UMNO mereka boleh hidup dengan aman.

Dahulu dikatakan sekiranya Pakatan Rakyat memerintah maka negeri akan huru-hara. Rakyat akan kelaparan dan kehausan, senario persis di Padang Mahsyar; UMNO mengakui bahawa hanya melalui mereka rakyat boleh mengecapi kesejahteraan dan rezeki- seolahnya mereka penentu rezeki manusia dan segala masalah yang melanda negara disalahkan ‘krisis global’, ‘kegawatan ekonomi sedunia’, ‘harga kita masih rendah jika dibanding dengan negara Zimbabwe’ dan lain-lain kesalahan yang dibuat oleh ‘orang lain’.

Hari ini, Pakatan Rakyat membuktikan bahawa pelaburan asing secara langsung (FDI) di negeri-negeri dibawah pemerintahan Pakatan Rakyat naik berlipat-lipat kali ganda daripada 53 tahun negeri-negeri tersebut dibawah pemerintahan UMNO dan BN. Keuntungan syarikat-syarikat dibawah kelolaan syarikat negeri, disalurkan pula kepada kampung-kampung dan rakyat, keuntungan melalui projek kerajaan negeri disalur kepada rakyat kebanyakan melalui program dan Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Sangkaan UMNO Selangor bahawa Selangor akan hancur, lebih hancur daripada dibawah pentadbiran pemimpin UMNO yang diantaranya, mencuri tanah rakyat dan berjoli katak di Disneyland tajaan negeri. Disamping itu disangka orang Melayu akan berbalah dengan yang Cina dan India. Namun sangkaan itu ternyata meleset kini. UMNO melalui lidah dua cabang rasminya Utusan Malaysia dan PERKASA, telah membuktikan kepada masyarakat bukan Melayu bahawa UMNO hanyalah parti fasisme yang mengamalkan keutamaan kaum Melayu, persis Ku Klux Klan (KKK) di Amerika Syarikat dan kerajaan Apartheid di Afrika Selatan.

Najib Razak ternyata kini, mempersoalkan keperluan parti MCA dan MIC di dalam BN. Pada hemat beliau, dengan undi Melayu sahaja UMNO boleh berkuasa. Dan sekiranya kaum-kaum lain mahu bersama merasakan ‘keindahan’ memerintah, dan mereka mahu turut serta, maka ‘logik’ bagi Najib Razak bahawa mereka seharusnya melutut, merayu dan menjilat kaki berdaki UMNO itu dan menurut segala perintah mereka, termasuk menghampakan jutaan rakyat bukan Melayu yang hidup dalam serba kesusahan dan kedaifan.

KEADILAN Selangor mengulangi pendirian Pakatan Rakyat bahawa kekayaan dan hasil-mahsul negeri dan negara hendaklah berlegar dikalangan rakyat kebanyakan, bukannya pada segelintir kroni dan perompak rakyat yang bersembunyi disebalik jawatan tinggi. Kekayaan Malaysia hendaklah dirasai oleh semua, termasuk yang bukan Melayu yang tidak kaya dan berpendapatan rendah. Bagi yang berjawatan rendah hendaklah menikmati lebih, namun yang sudah sedia kaya menerimanya juga, dalam nisbah yang kurang sedikit. Inilah pengagihan harmoni untuk rakyat.

KEADILAN tegaskan, segala yang diatas itu adalah UNTUK SEMUA RAKYAT, TANPA MENGIRA KAUM.

MCA dan MIC wajar membuat keputusan sekarang, apakah masanya kini sudah tiba untuk keluar dari Barisan Nasional? 'Tepuk dada tanya selera'

Shuhaimi Haji Shafiei
Ketua Penerangan KEADILAN Selangor

Baca juga;
Tiada siapa percaya MCA sanggup tolak jawatan kerajaan, kata Guan Eng-M'insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan