Sabtu, 31 Disember 2011

Jamil Khir cakap bohong atau Laporan Ketua Audit Negara yang tak tepat?

Jamil Khir jawab dakwaan seleweng wang zakat-Malaysiakini/Bernama

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini menegaskan laporan mendakwa beliau terbabit penyelewengan wang zakat adalah tidak benar.
  
Beliau berkata wang yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bukannya daripada wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tetapi dana khas yang disalurkan kerajaan untuk pembayaran yuran guaman.
  
"Setiap tahun kerajaan bagi bajet kepada MAIWP dan tahun ini RM700,000 diperuntukkan untuk tujuan pembayaran contohnya kes perebutan jenazah, kes libatkan saudara baru, isu murtad yang dibawa ke mahkamah, kita pakai duit ini lah," katanya kepada pemberita di Sepang hari ini.
  
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan dakwaan penyelewengan wang zakat MAIWP bagi pembayaran kos guaman beliau, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain dalam kes qazaf itu.
  
Sambil menyifatkan dakwaan itu dan laporan mengenai kos ubah suai rumahnya di ibu negara yang dikatakan tinggi dan mewah sebagai zalim dan kejam, Jamil  Khir berkata berita seumpama itu sepatutnya diselidik terlebih dahulu sebelum disiarkan supaya tidak timbul fitnah dan salah faham rakyat terhadap pemimpin negara dan kerajaan.

Beliau berpendapat laporan itu bertujuan untuk melahirkan persepsi bahawa pihak menteri dan kerajaan selalu melakukan penyelewengan.
  
"Saya rasa amat tidak wajar seorang Muslim dan saya rasa yang bercakap ini pun banyak Muslim. Dia patut selidik dan kena rasa takut pada fitnah dan pembohongan yang bukan setakat habis di dunia tapi balasannya sampai di akhirat," katanya.
  
Menurutnya pembangkang banyak memainkan isu melibatkan kerajaan Barisan Nasional untuk dipolitikkan supaya dapat mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu-isu pokok membabitkan pembangkang termasuk qazaf.

Bangkit tuntut dakwa Jamil Khir pecah amanah-Harakahdaily

Umat Islam mesti bangkit beramai-ramai menuntut pendakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Bahrom kerana pecah amanah wang zakat, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Persoalan terbesar di sini ialah jenayah pecah amanah wang zakat apabila Jamil Khir dan dua orang lagi yang bersyubhat dengannya menggunakan wang itu untuk kos guaman kes qazaf (Datuk Seri) Anwar Ibrahim.

"Perbuatan pecah amanah wang zakat tidak boleh ditutup walaupun di bayar balik kerana pecah amanah telah pun berlaku," katanya.

Persoalan kedua, kata Mahfuz, ialah pembohongan Jamil Khir apabila tanpa sebarang rasa malu sedikit pun beliau membohongi rakyat dan mendakwa "mana mungkin saya hendak menggunakan duit zakat untuk tujuan guaman".

"Dakwaan Jamil Khir itu menghina Ketua Audit Negara yang membuat laporan bahawa wang zakat telah digunakan untuk membayar kos guaman tersebut.

"Menghina Ketua Audit Negara bermakna menghina Yang di-Pertuan Agong kerana Ketua Audit Negara dilantik oleh baginda," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Menurut Mahfuz, menteri itu melakukan dua kesalahan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

"Selain menghina Ketua Audit Negara yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Jamil Khir sebelum itu telah melakukan jenayah pecah amanah wang zakat dan institusi zakat yang terlibat itu berada di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Sebagai anak Kedah, kata Mahfuz, beliau tidak mahu Sultan Kedah yang kini menjadi Yang di-Pertuan Agong tercalar imejnya kerana jenayah pecah amanah wang zakat yang dilakukan oleh menteri berkenaan dan penghinaan terhadap Ketua Audit Negara yang juga dilakukan oleh menteri berkenaan.
"Mereka yang terlibat melakukan pecah amanah wang zakat itu mestilah didakwa dan jawatan mereka hendaklah digantung sepanjang proses pendakwaan itu dan jika mereka didapati bersalah mereka mestilah dihukum selain dipecat dari jawatan mereka," tegas beliau.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 mengesahkan pecah amanah wang zakat berjumlah RM63,650 dilakukan oleh Jamil Khir dan dua orang lagi yang bersyubhat dengannya bagi menghalang kes qazaf yang di failkan oleh Anwar.

Wang zakat itu disalahgunakan untuk pembayaran kepada firma guaman Zainul Rijal Talha dan Amir bagi mewakili Jamil Khir, pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwanya, Shamsuddin Hussain, sebagai responden.


Berkaitan;
Seleweng zakat:Keadilan lapor polis minggu depan-Keadilandaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan