Khamis, 9 September 2010

Pemuda Pas ajak orang Islam bersatu sempena Aidilfitri

Sempena Aidilfitri disambut esok, Pemuda PAS mengajak semua orang Islam di negara ini agar bersatu di bawah satu payung perjuangan Islam agar tidak lagi dijajah.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS pusat Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata orang Islam perlu membina semula kekuatan bagi mengelakkan daripada kembali dijajah.

“Penjajahan yang berlaku kini bukan hanya dalam bentuk fizikal tetapi juga pemikiran jadi jika tiada tindakan diambil mungkin generasi akan datang akan kembali dijajah.

“Justeru sempena Ramadan dan sambutan Hari Raya yang akan menjelang ini, orang Islam perlu menjadikan Ramadan sebagai medan ujian untuk mengukuhkan diri dalam menangani permasalahan orang Islam di negara lain.

“Perbanyakkan menyumbang untuk meringankan bebanan mereka dan jadikan Aidilfitri sebagai gelombang permulaan ke arah kejayaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menyarankan agar orang Islam tidak terus alpa dan lali dengan semua perubahan persekitaran yang berlaku.

“Dari hari ke hari secara berterusan seolah-olah umat ini terus alpa dan lali dengan persekitaran yang terjadi.

“Jadi kita harus memberi fokus kepada masalah yang timbul terutamanya di Selatan Thailand iaitu di Songkla, Pattani, Yala dan Narathiwat, tidak lupa juga bagi orang Islam di Xinjang, China,” katanya.

Raja Ahmad berkata penderitaan orang Islam di negara-negara luar dilihat seolah-olah tiada kesudahan malah semakin banyak peristiwa berdarah yang melibatkan orang Islam berlaku.

“Di wilayah Muslim Xinjiang, China, seramai 156 orang terbunuh di hadapan Masjid Jalan Sutera, Kashgar. Di Selatan Mindanao, perkara yang serupa tetap berlaku, walaupun tangan perdamaian sudah dihulur oleh pejuang-pejuang MILF namun tentera masih meratah umat Islam di sana.

“Selain itu, di Chechnya Russia, orang Islam masih dibelenggu hujan peluru dan bom, kekangan oleh kuasa Russia yang masih keras menentang perjuangan mujahidin Chechnya.

“Di Kashmir pula, satu lagi bumi umat Islam antara yang tertua, di mana sejarah perkembangan agama di wilayah India dan Pakistan berkembang pesat dahulunya. Namun sekarang, status mereka masih di awang-awangan ditekan oleh tentera India dan nasib mereka masih dibelenggu oleh golongan sekular,” katanya.

Justeru beliau berkata, orang Islam perlu mencari jalan penyelesaian dengan membina kekuatan demi agama Islam.

“Dari beberapa catatan peristiwa berdarah tersebut, marilah kita sebagai umat Islam mencari jalan menuju puncak kekuatan kita, dengan bersatu padu demi agama ini.

“Jika kita salahkan musuh semata-mata, tanpa melihat ‘kekuatan dan kelemahan’ yang ada pada diri ummah, maka jadilah kita ‘si celik yang buta’.

“Jika kita masih berpecah, tidak bersatu di bawah panji Islam, maka cukup lemah suara amaran dan gerakan umat Islam,” katanya lagi.-The Malaysian Insider

2 ulasan:

  1. 'Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya. (103) Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (104)'...firman Allah dlm surah Al-Imran ayat 103-104

    BalasPadam
  2. seruan untuk islam yang tidak berlabelkan keris...betul ke.....sebab Islam pas memusuhi Islam selain dari islamnya...hanya yang menjadi ahli pas dan menyokong sahaja islam...

    BalasPadam