Rabu, 24 Ogos 2011

Pas :Umno layan ulama macam 'terompah kayu'


Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan Umno melayan ulama seperti “terompah kayu” dan tidak mengiktiraf, malah tidak meletakkan golongan itu di kedudukan terbaik dalam pentabiran negara.

Tegas Ketua Penerangan PAS ini, ulama tidak akan dihormati dan disanjung jika ia tidak diiktiraf oleh mana-mana parti atau pentadbiran negara.

“Ulama perlu ada tanggungjawab dan pengiktirafan tapi kalau kita duduk dalam parti yang tidak iktiraf ulama dan tak terima nasihat ulama, nak buat apa... ulama adalah pemandu kepada pemimpin supaya pemimpin ikut nasihat ulama berlandaskan hukum Islam.

“Itu yang jadi (dalam Umno), bila perlu pakai (ulama), kalau tak perlu tak pakai . . . itu yang macam terompah kayu dan ‘rice cooker’, kita tidak mahu ulama kita duduk sahaja, pemimpin mesti dipandu, kalau pemimpin baik rakyat juga akan baik,” katanya Wacana Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti anjuran hari ini.

Terompah kayu merujuk kepada selipar yang digunakan untuk ke tandas.

“Pakai (terompah kayu) bila nak pergi tandas sahaja,” katanya.

Jelas Tuan Ibrahim, PAS mengangkat martabat ulama dan meletakkan ia di kedudukan yang tinggi dalam parti selain turut mengiktiraf kepimpinan golongan itu.

“Ulama ada individu untuk menyampaikan ilmu, jangan khianat... dalam PAS kita letakkan ulama di dua peringkat iaitu Majlis Syura dan Dewan Ulama PAS, mana-mana keputusan termasuk soal calon kita putuskan dalam Majlis Syura manakala Dewan Ulama PAS pula menyelesaikan isu-isu yang berbangkit mengikut hukum Islam.

“PAS berpandukan Majlis Syura dan presiden kita (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) duduk dalam Majlis Syura selain dibantu oleh Dewan Ulama PAS,” katanya.

Jelas beliau, keputusan yang dibuat berdasarkan hukum Islam walaupun terpaksa berdepan dengan risiko hilang sokongan.

“Siapa yang nak pandu pemimpin jika bukan ulama. Ulama mesti memandu politik tapi macam mana nak pandu kalau kita tiada pengiktirafan dan kita dalam PAS mengikut syarak walaupun dari segi politik kita rugi, tapi apakah kita nak tanggung dosa.

“Sebab itu bagi saya adalah pengiktirafan, ulama bukan orang yang berkepentingan, bukan nak kerusi tapi kalau kita lihat ulama telah buat banyak fatwa tapi tidak dihargai,” katanya.-The Malaysian insider.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan