Rabu, 28 April 2010

Kematian Aminulrashid satu pembunuhan


N. Surendran peguam bagi keluarga Aminulrasyid Amzah remaja yang ditembak polis berkata, apa yang berlaku kepada mangsa adalah satu pembunuhan.

"Kita melihat ini sebagai satu pembunuhan," ujar beliau semalam dalam suatu kenyataan media di kediaman Aminul.

Menjawab soalan pemberita, Surendran berkata, insiden yang menimpa Aminul sama motifnya dengan yang berlaku kepada Norizan Salleh yang ditambak lebih lima das tembakan oleh polis pada Oktober lalu.

"Ya, kes ini lebih kurang sama dengan kes tembak Norizan Salleh tahun lepas," tambahnya lagi.

Menyifatkan kes itu sebagai berat, polis katanya tidak cukup hanya mengeluarkan kenyataan sedang menyiasat, sebaliknya mahu polis mengambil tindakan tegas kepada anggota polis yang terlibat.

Sehubungan itu, beliau yang juga peguam bagi pihak Norizan berharap polis dan Menteri Dalam Negeri supaya tidak mengambil sikap acuh tidak acuh terhadap kes Aminul sebagaimana yang dilakukan mereka ke atas kes Norizan sebelum ini.

"Kita juga minta semua polis yang terlibat dikenakan tindakan yang tegas," katanya lagi.

Beliau turut menjelaskan bahawa pasukannya sedang menyiapkan persiapan penghujahan sebelum memfailkan kes pembunuhan Aminul di mahkamah.

"Sekarang ini, kita sedang berbincang dan mendapatkan maklumat penuh," jelasnya beliau lagi.

Turut menyertai Surendren, Latheefa Koya (peguam, Ketua Penerangan PKR) dan Cik Puspawati (Peguam Muda).

Ekoran memandu kereta tanpa mempunyai lesen memandu Isnin lalu, juvana terbabit dilaporkan media ditembak di kepala sehingga mati oleh polis.

Bagaimana pun, seorang juvana yang turut bersama Aminul ketika insiden tersebut berlaku berjaya melepaskan diri.

Dalam laporan polis semalam, juvana terbabit yang kini dianggap sebagai saksi utama kes pembunuhan tersebut, mendakwa polis menendang beliau walaupun pada asalnya beliau telahpun bertindak untuk menyerah diri.-Harakahdaily

1 ulasan:

  1. Salam...

    ini bukan kes yg pertama kecuaian pihak polis...dimana letaknya berbelas ikhsan mereka...tidak beriman seorg muslim melainkan dia menyayangi saudaranya lebih dari dirinya..wawahua'lam...baca di bawah :

    sumber : http://www.harakahdaily.


    Mangsa tembakan polis terkejut, ia berulang kembali
    Ismail Hashim
    KLANG, 28 April: Mangsa tembakan rambang polis pada 16 April 2009, Shahril Azlan Ahmad Kamil melahirkan rasa terkejut yang amat sangat ekoran kejadian yang pernah menimpa ke atas dirinya setahun lalu berulang lagi kepada pelajar, Aminulrasyid Amzah, 15, pada 26 April lalu juga di Shah Alam.

    Beliau yang mengucapkan takziah kepada anggota keluarga pelajar itu turut menyifatkan kejadian itu sebagai satu tindakan yang sangat tidak profesional kerana tanpa sebarang komunikasi sebelum menembak sehinggakan terasa seperti suasana di negara ini berada di dalam keadaan darurat.

    "Mereka langsung tidak bertanya apa-apa terus sahaja menembak tanpa usul periksa," tegasnya ketika ditemui oleh wartawan dari sebuah akhbar mingguan politik, Siasah hari ini.

    (Gambar: Selepas setahun, parut masih ada pada badan Shahril. Kesan tembakan itu menyebabkan paru-parunya bocor, sukar tidur malam, kaki dan tangannya kebas selalu dan tidak boleh memandu jauh)

    Menurutnya, sehingga kini sudah setahun beliau menderita menanggung segala sengsara zahir dan batin tanpa sebarang pembelaan paling wajar dari mereka yang bertenggungjawab melakukan tindakan sangat tidak adil itu.

    Untuk rekod, kejadian itu menyebabkan paru-paru anak sulung dari sembilan beradik berasal dari Sabak Bernam dan kini tinggal bersama keluarga di Kapar ini bocor; sukar tidur malam, kebas kaki kiri dan tidak boleh memandu jauh.

    BalasPadam