(Oleh Aisha Geoffrey)
KUALA LUMPUR 16 Julai: Seorang lagi peserta Bersih, Suhaimi Suratman, 31, memberitahu, polis menghalang semua tahanan Muslim menunaikan solat dan ke tandas semasa ditahan pada 28 April lalu.
Menurut Suhaimi, kejadian itu berlaku semasa peserta ditahan di Kelab Royal Selangor sebelum dibawa ke Pusat Latihan Polis (Pulapol).
“Kami minta izin untuk solat dan buang air, tapi polis tak bagi. Polis malah berkata: nak sembahyang pergilah masjid, sini bukan masjid,” katanya.
Jelas beliau, polis kemudian akur terhadap penjelasan oleh Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang turut ditahan pada ketika itu.
“Selepas itu, saya nampak Ahli Parlimen Batu, Tian Chua juga ditahan, dan atas pertolongan Tian, baru kami dibenarkan solat dan sebagainya,” jelas Suhaimi.
Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen, hari ini.
Ditanya apakah bentuk pertolongan yang diberikan Tian sehingga polis memberi kebenaran. Ini jawapan Suhaimi; “Tian menjelaskan kepada polis yang kami berhak untuk solat, minum, dan buang air walaupun ditahan”.
Sebelum ditahan, beliau dipegang beberapa polis preman dan ditumbuk tepat di hidung menyebabkan hidungnya patah.-keadilandaily.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan