Khamis, 12 September 2013

FIKIRKAN HALA TUJU PAS BUKAN ISU

Penulis Pak Abd Syukur Harun 
Ketika PAS Kawasan seluruh negara sedang rancak mengadakan mesyuarat agung dan disusuli oleh mesyuarat Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat peringkat negeri, menjelang Muktamar Tahunan PAS November nanti, pelbagai isu telah ditimbulkan oleh pelbagai pihak.

Terutamanya media massa, politikus Umno dan pihak yang menyokongnya yang sentiasa mencari salah PAS untuk menyerangnya. Ini biasa berlaku setiap menjelang Muktamar PAS.

Kini, isu yang hangat diperkatakan ialah isu Syiah iaitu ada pihak dengan segala prejudisnya menuduh PAS terlibat dengan Syiah, sedangkan Presiden PAS, Dato’ Seri Haji Abd Hadi Awang dan pemimpin PAS yang lain telah menjelaskan dengan sejelas-jelasnya dan menafikannya. 

Bagaimanapun, isu ini terus diperhangatkan atas kepentingan tertentu dengan melabelkan Timbalan Presiden PAS, Haji Muhamad Sabu kononnya sebagai ‘orang Syiah’, padahal beliau telah menafikannya berulang kali.

Kemudian ditimbulkan pula isu sampingan – melaga-lagakan golongan ulama dan profesional - menjelang Muktamar PAS dan beberapa isu lain yang saling bermunculan yakni dijangka akan semakin rancak ditimbulkan semakin dekat Muktamar. 

Bagi pendukung PAS yang setia, mereka sangat faham bagaimana musuh PAS memanipulasi isu ini setiap kali muktamar untuk memecahbelahkan PAS. 

Oleh itu, mereka tidak perlu melayannya, menjelang Muktamar tahu lalu – sebelum PRU ke-13, masyarakat dihangatkan dengan isu supaya PAS menarik diri dari Pakatan Rakyat dengan melaga-lagakan PAS dengan DAP, namun pendukung PAS yang amat setia tidak terpengaruh dengan hasutan ini, yakni akhirnya PAS terus bersama Pakatan menghadapi PRU tersebut.

Kini musuh politik PAS bangun kembali dan berusaha menimbulkan isu-isu yang disebutkan tadi dan tidak mustahil akan berusaha lagi merekacipta isu untuk memecahbelahkan PAS. Tetapi kita yakin, usaha musuh politik PAS ini akan terus gagal, sama seperti kegagalan mereka pada masa lalu, justeru pengalaman dan ilmu yang ada pada pendukung PAS mampu mempertahankan keutuhan parti.

Mengenai isu Syiah, Presiden PAS telah mengingatkan umat Islam agar tidak terpengaruh dengan agenda Barat yang hendak melemahkan Islam dengan masalah mazhab Sunni-Syiah. Beliau menyifatkan isu kontroversi ini perkara lama yang sengaja ditimbulkan kembali.

Justeru, katanya, secara sedar tetapi bodoh atau jahil, isu perbalahan mazhab tersebut telah melekakan umat Islam mengenai kebangkitan Islam di seluruh dunia. Kata beliau, kerana asyik dengan pertikaian mazhab hingga umat Islam sendiri lupa musuh sebenarnya iaitu Israel serta kuasa-kuasa besar dunia. Untuk itu, Presiden PAS menyeru supaya
umat Islam memahami bacaan politik antarabangsa yang dikuasai oleh kuasa-kuasa besar dunia termasuk Israel.

Orang Melayu dan masyarakat Islam di negara ini, katanya, masih lagi berpegang dengan mazhab Ahli Sunnah. Oleh itu, saya percaya isu Syiah ini tidak akan ‘menggegarkan’ Muktamar PAS November ini. Tetapi jika timbul juga, maka memang sangat malanglah. 

Yang penting diberi fokas dalam Muktamar nanti ialah hala tuju PAS akan datang, melakarkan road-map parti dalam menghadapi politik baru negara ini iaitu PAS, sebagai parti politik Islam kontemporari, mesti menyediakan dirinya benar-benar kukuh dan berperanan penting dalam politik arus perdana Malaysia.

Ia tidak boleh lagi dilihat hanya ‘berlegar’ dalam kelompok atau lingkungan partinya saja, tetapi ia mesti menyerlah di mana-mana, mengambil bahagian  penting dalam semua situasi, justeru sebagai parti dan gerakan Islam, ia menjadi ‘pengimbang’ atau dalam bahasa yang mudah difaham sebagai pengadil dalam semua pergolakan dan keadaan.
Ini sesuai dengan sifat Islam sebagai agama wasatiyah, pengimbang dan penyaksi kepada manusia dan Rasul menyaksikannya, seperti yang disebut di dalam al-Quran Surah Al-Baqarah, 143.

Oleh itu para muktamirin perlu menyediakan gagasan dan idea besar ke arah itu, tidak perlu lagi mengulang-ngulang retorik dan slogan serta frasa lama. Atau membangkitkan isu yang bersifat remeh-temeh atau kritikan dalaman yang hanya ‘mencederakan’ sesama pendukung parti. Lebih-lebih lagi, seperti biasa, ada puluhan wakil media massa – dalam dan luar negara – yang membuat laporan Muktamar di samping para tetamu.

Mungkin ada hujah mengatakan bahawa bila lagi hendak mengkritik atau mengemukakan pandangan kalau bukan di Muktanar. Pada pendapat saya, itu memang benar bahawa kritikan atau teguran serta pandangan berbeza itu boleh saja dilakukan, tetapi pandangan dan teguran itu jangan sampai ke tahap dilihat sebagai tidak releven, tidak faham isu, malah bodoh. Maknanya, kritikan atau pandangan berbeza mestilah didukung dengan fakta, kemunasabahan atau logik akal serta dibawa dalam lingkungan akhlak Islam.

Sementara itu, saya percaya dalam Muktamar kali ini, akan timbul perihal kekalahan PAS di Kedah, kekalahan hingga 15 kerusi PAS di Kelantan, peningkatan prestasi PAS Terengganu yang sangat menjanjikan, kemenangan 15 kerusi PAS di Selangor, kemenangan beberapa kerusi PAS di Johor, sebuah kerusi PAS di Melaka, prestasi PAS Perak yang dan lain-lain akan dibahaskan dalam suasana yang tenang dan matang.

Juga perlu dibahaskan dalam Muktamar itu mengenai usaha PAS untuk menawan kerusi Melayu lebih banyak di luar bandar, di samping mengekalkan sokongan yang ada. Dalam masa yang sama mengeratkan kerjasama dengan semua parti dalam Pakatan rakyat dan berusaha memperkukuhkan lagi Tahaluf-Siyasi.

Kesimpulannya, Muktamar PAS kali ini mesti menghantar isyarat jelas bahawa PAS  sebagai parti politik Islam mampu berdiri gagah (Walking Tall) menghadapi cabaran yang ada betapapun kompleksnya. Ia bukan lagi parti yang berlegar di lingkungannya saja, tetapi ia parti yang hadir dan berperanan dalam arus perdana politik Malaysia. Untuk itu paduan antara ulama, profesional, veteran, tokoh aktivis dan pelbagai golongan lagi amat perlu. -Harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan