Sabtu, 2 Jun 2012

Peneroka Felda tinggal sehelai sepinggang akan jadi kenyataan?

FGVH:Peneroka dikhuatiri bertimpa-timpa rugi-Harakahdaily

Abdul Aziz Mustafa,02 Jun 2012

Peneroka Felda dikhuatiri akan menanggung rugi bertimpa-timpa akibat penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH), kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Sebelum disenaraikan, kerajaan telah menyerahkan 300 ribu hektar tanah Felda Plantation, iaitu anak syarikat Felda Holdings, kepada FGVH konon untuk menarik minat pelabur.

"Dari mana lagi sumber Koperasi Permodalan Felda(KPF) untuk membayar dividen kepada para peneroka kerana sumber KPF sebelum ini datang dari dari Felda Holdings.

"Belum apa-apa lagi, peneroka sudah rugi," katanya.

Walaupun peneroka kononnya diperuntukkan 2.5 peratus atau 91 juta unit saham FGVH, Salahuddin tetap bimbang mereka akan menghadapi kerugian lagi.

"Saya bimbang mereka akan rugi bertimpa-timpa kerana rakan-rakan dalam pasaran memaklumkan kepada saya tentang kemungkinan harga tawaran awal kepada umum (IPO) FGVH yang dilaporkan berharga RM4.55 sesaham akan jatuh merudum dalam masa enam bulan sahaja.

"Saya benar-benar berharap perkara itu tidak berlaku tetapi rakan-rakan dalam pasaran memaklumkan harga itu terlalu tinggi," katanya.

Walaupun berharap kejatuhan yang dijangkakan itu tidak berlaku, tetapi prestasi FGVH sebelum ini mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan tersebut, kata Salahuddin.

"Prestasi FGVH sebelum ini amat buruk di mana anak-anak syarikatnya seperti Felda Global Ventures Middle East, Felda Global Ventures North America, Felda Global Ventures Perlis, Felda Global Ventures India, Felda Global Ventures Livestock, Felda Global Ventures Indonesia dan Felda Global Ventures Kalimantan kesemuanya rugi.

"Mungkin sebab itulah desas-desus dalam pasaran awal-awal lagi memberikan undi tidak percaya kepada kemampuan IPO FGVH untuk bertahan lebih dari enam bulan apabila disenaraikan nanti," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Semakin membimbangkan, katanya, ialah apabila disebarkan berita bahawa 53 peratus pokok kelapa sawit di bawah FGVH telah tua dan hasilnya akan berkurangan.

"Itu belum lagi diambilkira sejarah kos tanam semula Felda yang dilaporkan sehingga RM3,151 bagi setiap satu hektar berbanding Sime Darby RM936 bagi setiap satu hektar dan IOI yang hanya berbelanja RM596 bagi setiap satu hektar untuk tanam semula.

"Saya tidak nampak pasaran akan menaruh keyakinan bahawa FGVH akan mengurangkan kos itu dan kesemua itu bukanlah berita yang baik kepada pasaran," kata Salahuddin.

Beliau juga menyatakan, rakan-rakannya dalam pasaran juga memberitahu bahawa dunia akan mengalami kebanjiran minyak kelapa sawit, antara lain kerana Indonesia akan menimbunkan stoknya sehingga tidak kurang dari lima juta tan.

"Saya membangkitkan kesemua ini kerana saya kasihan kepada para peneroka Felda dan saya sangat berharap anak-anak peneroka yang berkesedaran dapat memberitahu ibu bapa mereka tentang kebimbangan Tengku Razaleigh (Hamzah) bahawa peneroka akhirnya akan hanya tinggal sehelai sepinggang sahaja," katanya.

Salahuddin berkata, terlalu banyak isu yang dibangkitkan mengenai keghairahan kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak hendak menyenaraikan FGVH.

"Sekali lagi saya berharap sangat anak-anak peneroka yang berkesedaran dapat memberitahu ibu bapa mereka tentang pelbagai perkara yang dibangkitkan itu," katanya.

2 ulasan:

  1. jgn nnt dah terhantuk baru nak tengadah...harap semua peneroka berhati2 dgn mainan kapitalis... lanun zaman IT

    BalasPadam
  2. Fakta prestasi FGV yg pelbagai spt di atas itu harus diambil kira. Klu syarikat yg di bawah semuanya hancur mcm mana syarikat holding (FGVH) bolh nk survive. Klu mcm ni, tak taulah apa lgi penyelewengan yg akan timbul spt NFC tu. Kte kena ingat TS Md Isa itu cuma bekas MB saja bukannya pakar ekonomi ataupun akauntan bertauliah utk fikirkan semua ini. dia fkir elaun bulanan dia sja.

    BalasPadam