Selasa, 14 Jun 2011
Demo Bersih bukan nak lawan 'KL Gangster' tapi lawan politik kotor BN
Umno boleh upah mana-mana NGO yang pro Umno untuk mengugut rakyat yang sudah masak dengan asam garam dan sepak terajang politik Umno .Nak upah sapa pun upahlah, nak tangkap pun tangkaplah tapi suara rakyat tak akan lemah dengan ugutan untuk rakyat yang cintakan keadilan untuk turun dijalanraya 9 Julai nanti.Sama-sama kita tengok sampai takat mana puak-puak dan tali barut Umno ni nak tunjuk gah dengan kuasa rakyat.
Rakyat turun dijalanraya bukan nak bergasak dengan Perkasa atau Pekida tapi rakyat mahukan perubahan dalam pilihanraya.Buat apa nak bergasak dengan Perkasa atau Pekida depa bukan pemerintah di negara ini tapi depa hanya nyamuk saja.Yang depa dok gatai nak jadi pengacau tu buat apa.Nak tunjuk hero pun pi la di Gaza sana lawan Israel yang dok bunuh rakyat Palestine sampai tak kira waktu.Puak ni masih main cara lama macam samseng Kampung Dusun saja layaknya.Ajar rakyat jadi bodoh macam depa.Belajar-belajar la buka internet layari semua berita seluruh dunia jangan jadi macam katak bawah tempurung minda langsung tak terbuka.Buat malu orang Melayu ja dengan kelaku buruk ugut orang sana sini.
Belum apa-apa dah kata kotor.Siapa yang kotor?Kalau BN tak kotor buat apa rakyat mahu berdemontrasi untuk pulihkan sistem pilihanraya di negara ini?Kotor tangan boleh cuci tapi kalu main kotor dalam pilihanraya sampai bila rakyat boleh tahan.
Buat apa Umno-Bn nak kacau himpunan aman Bersih 9 Julai?Takkan Umno nak kena himpunkan NGO2 pro Umno ni sebagai warm up untuk takutkan demo Bersih?Dulu demo Bersih 2007 awat tak jemput puak-puak ni untuk tunjuk kuat?Awat bila dah hilang 5 negeri baru teringat kata kalau Demo Bersih 2.0 9 Julai berlangsung takut hilang lagi 5 negeri ka?
Umno takut tembelang kotor depa terburai setiap kali ada pilihanraya sebab tu dok suruh rakyat yang tak reti apa-apa pi report polis kata Demo Bersih timbul huru hara.Tak demo lagi dah pi report kata rugila , malu kat dunia luar.Main politik kotor tak reti pulak nak rasa malu.Umno memang dah gila tapi tak ngaku kata dah gila...gila kuasa, mabuk kuasa lama-lama boleh jadi gila.
'Umno hulur tangan , aku tampar tangan mereka'-TP Pas
PAS tidak sekali-kali akan bekerjasama dengan UMNO walaupun atas nama perpaduan Melayu kerana serik dengan permainan parti itu, kata Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu.
"Kita tidak mahu kejadian 1969 berulang kerana bertanding atas tiket Barisan Nasional dan mereka berjaya, kita ditendang keluar menjelang pilihan raya umum selepas itu.
"Pemimpin UMNO sekarang cuba berbaik dengan PAS...bila dihulur tangan, ku tampar tangan mereka," katanya semasa menyampaikan ceramah di Kompleks PAS Kedah di Alor Setar malam tadi.
Mohamad turut melancarkan kempen perhimpunan BERSIH 2.0 (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil BERSIH 2.0) peringkat negeri Kedah.
Mengenai BERSIH 2.0 beliau berkata PAS akan menggerakkan seramai mungkin ahlinya menyertai perhimpunan itu bersama penganjur dan badan bukan kerajaan di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini.
"Saya mahukan perhimpunan ini bersih...kita tidak akan menimbulkan kekacauan atau menyebabkan kerosakan harta benda awam," katanya.
Bersih2.0: BN masih angkuh walaupun hilang 2/3 majoriti
Peduli apa dengan Perkasa.Perkasa bukan polis hanya sebuah NGO.Cakap lebih daripada polis sebab Brahemm Ali jadi anak emas Umno tidak boleh diambil sebarang tindakan.Brahemm Ali bukan bukan sapa-sapa pun hanya MP Bebas Pasir Mas.
Berkaitan;
Pemuda Pas:Kerahan PERKASA ancaman serius-M'kini
Gelaran 'dangkal' pulang pada Awang Selamat-M'kini
Hasan Ali kena buang:Pas Selangor tak payah terkejut..

Jawatan dalam Pas adakah seseorang itu mesti bergelar YB, Datuk baru dikira layak pegang jawatan dalam Pas?Kalau ada gelaran YB atau Datuk tapi buat kerja tak setara mana hanya gelaran ja yang lebih memang tak layak pun pegang jawatan dalam Pas.Cukup ulas takat tu yang lain baca di bawah;
Pas Selangor mula layar tanpa Hasan Ali-M'insider
Selepas 10 hari hari muktamar tahunan ke-57, arena politik domestik menyaksikan satu lagi perkembangan mengejutkan banyak pihak dalam dan luar PAS.
Walaupun perkembangan itu bersifat mikro, di peringkat Selangor tetapi bahangnya dirasai di peringkat nasional.
Meskipun sudah lapan tahun mengetuai PAS Selangor dan di sebalik suasana tidak senang yang banyak diperkatakan mengenai kepimpinannya, difahamkan Datuk Dr Hasan Ali tidak menawarkan diri atau meminta beliau digantikan sebagai ketua peringkat negeri. Rata-rata pengikutnya pula masih terkejut dengan langkah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggugurkan beliau sebagai pesuruhjaya negeri. Selain Selangor satu lagi negeri yang menjadi perhatian ialah Terengganu.
Awal tahun lalu, Hasan yang dipanggil jawatankuasa disiplin PAS memutuskan untuk mengenakan hukuman amaran. Bekas timbalannya Khalid Abdul Samad yang turut dipanggil panel itu digantung daripada memegang jawatan selama enam bulan.Kedua-dua mereka bertanding kerusi ahli jawatankuasa kerja pusat parti 3 Jun lalu dan menang.
Malah, tindakan Hadi turut mengejutkan komponen PAS dalam Pakatan Rakyat dan juga pesaing politik perikatan itu khususnya Umno.
Dalam reaksinya Ketua Pembangkang Selangor Datuk Satim Diman menggesa kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim melakukan rombakan barisan exco susulan pelantikan pesuruhjaya baru PAS. Maksud yang hendak disampaikan wakil rakyat Umno tidak jelas tetapi membawa pengertian tersirat dan boleh difahami.
Lebih mengejutkan keputusan itu diambil ketika pilihan raya umum ke-13 dikatakan semakin hampir tiba. Bagi Pakatan Rakyat, Selangor dilihat sangat penting. Dan, ia juga menjadi idaman pentadbiran Najib. Berdasarkan pengikutnya, Hasan, Exco Kerajaan Negeri Selangor, telah menyusun jentera pilihan raya parti sejak beberapa bulan yang lalu.
“Selalunya pelantikan ini dibuat oleh presiden parti atas kuasa beliau sebagai presiden, itu hak presiden. Tetapi di Selangor kami agar terkejut,” kata Iskandar A. Samad yang juga Exco Kerajaan Negeri.
Bagaimanapun, Iskandar yang sebelum ini merupakan timbalan pesuruhjaya PAS Selangor berkata, “kita berharap keputusan melantik pesuruhjaya yang baru ini akan membawa kebaikan kepada PAS dan juga kepada Pakatan Rakyat di Selangor.”
“Kami berdoa ia akan membawa kebaikan,” kata Iskandar kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi.
Beberapa pemimpin PAS yang dilihat rapat dengan Hasan tidak dapat memberi sebab-sebab yang membawa kepada keputusan Hadi menggugurkan Hasan.
Sebagaimana Iskandar, mereka juga kelihatan terkejut dan tidak dapat memberikan reaksi spontan yang konkrit.
“Kami agak terkejut,” ujar Iskandar lagi sambil menambah, “saya tidak tahu (sebab keputusan ini).”
“Ada (banyak) tafsiran, dan cakap-cakap politik,” kata beliau yang mengakui bahawa kemungkinan perancangan pilihan raya akan “tersekat” buat sementara waktu sementara menanti kepimpinan baru.
Dalam komen dibawa Sinar Harian hari ini, Hasan yang juga ADUN Gombak Setia mahu penggantinya Dr Abdul Rani Osman (gambar) membuat persediaan awal jentera parti berdepan pilihan raya.
Menyifatkan keputusan menggugurkannya daripada terus menerajui PAS negeri sebagai perkara biasa, Hasan berkata, beliau tidak kecewa dan berharap ADUN Meru itu akan meneruskan perjuangan parti.
Sebelum dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri selepas pilihan raya umum ke-12, Hasan merupakan Timbalan Pengerusi Jabatan Agama Islam Selangor dan penceramah motivasi.
“Pemilihan berlaku dua tahun sekali dalam PAS, maknanya ada yang digugurkan, ada yang baru dan ada yang lama. Itu biasa.
“Mungkin masanya sudah tiba. Itulah sebabnya saya digugurkan. Suasana (saf kepimpinan) kini baru dan sesungguhnya kita memerlukan satu barisan yang baru, tenaga yang baru untuk menghadapi Umno dan BN pada pilihan raya umum akan datang,” katanya dilihat merujuk kepada keputusan pemilihan pusat 3 Jun lalu di mana kumpulan profesional menguasai barisan kepimpinan.
Hasan dilihat sebagai cenderung kepada kumpulan ulama. Malah, beliau juga dilabel sebagai antara mereka yang cenderung kepada idea kerajaan perpaduan Umno-PAS.
Ditanya sama ada penyingkiran beliau ada kaitan dengan pergeserannya dengan bukan sahaja di kalangan pemimpin PAS tetapi juga rakan dalam Pakatan Rakyat, Hasan berkata:
“Ini adalah pilihan presiden, yang mengutarakan nama itu dan kemungkinannya disokong oleh jawatankuasa PAS pusat, maka beliau dinamakan dan saya digugurkan.”
Hasan memegang kerusi pesuruhjaya selama empat penggal. “Bermakna sudah lapan tahun. Jadi, saya rasa sampai masanya, kalau hendak digantikan pun, eloklah digantikan selepas lapan tahun itu,” katanya.
“Walau apa pun saya menyarankan kepada yang baru dilantik supaya dapat betul-betul menyatukan PAS di Selangor ini dalam keadaan kita hendak menghadapi pilihan raya,” katanya.
Iskandar tidak melihat keputusan menggugurkan Hasan adalah ekoran perkembangan “tidak senang” dalam PAS negeri dan hubungan dengan komponen Pakatan Selangor sejak 2008.
“Saya tidak melihat begitu,” kata beliau dengan merujuk kepada isu yang menjadi perhatian iaitu kenyataannya mengenai status Selcat sudah diselesaikan.
“Nak kata isu arak, ia bukan keputusan Datuk Hasan seorang, tetapi keputusan pentadbiran negeri. Jadi, tak timbul isu ini,” kata Iskandar lagi.
“Saya pun tidak pasti, kita masih tercari-cari mengapa (perubahan) ini berlaku... mungkin dalam satu dua minggu akan jelas,” kata beliau.
Setakat ini, kepimpinan komponen Pakatan Rakyat kelihatan menyambut baik perubahan di peringkat PAS.
Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafiei berkata, pihaknya sentiasa meraikan pembaharuan rakan parti dalam Pakatan Rakyat demi keutuhan kesepakatan yang telah pun dicapai sebelum ini.
“Pembaharuan adalah perlu dibuat dalam memastikan tanggungjawab yang diberi oleh rakyat menjadi satu amanah yang tidak akan dikhianati. PKR Selangor sendiri sudah beberapa kali berubah kepimpinan pasca-2008 dan akan terus berubah demi rakyat,” katanya.
Ulas beliau, kecekapan Hasan menangani beberapa isu sensitif membuktikan beliau seorang pemimpin yang berwibawa dan berjiwa besar dan percaya pelantikan Dr Rani bakal memberikan satu “mimpi ngeri berpanjangan kepada seteru politik bersama iaitu Umno Selangor.”
ADUN Sri Muda ini menambah pelantikan itu juga memberi impak sangat besar kepada rakan dalam Pakatan Rakyat Selangor kerana hubungan baik beliau dengan pemimpin PKR Selangor dan barisan hadapan kepimpinan DAP Selangor.
“Komitmen beliau dalam kesepaduan Pakatan Rakyat turut dilihat dalam kesudian beliau hadir ratusan ceramah kempen Jelas — Tawan Malaysia! anjuran PKR Selangor dan gerak kerja kempen lain sebelum ini,” katanya lagi.
Seorang lagi pemimpin PAS Selangor yang mengekalkan kerusi ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat awal bulan ini, Dr Dzulkefly Ahmad berpendapat bahawa perubahan ini bukan soal ulama atau profesional tetapi PAS Selangor memerlukan kepimpinan yang boleh membawa jentera ke hadapan menghadapi pilihan raya umum dengan mantap.
“Ini soal kecenderungan dan pendekatan kepimpinan. YB Dr Rani dilihat sebagai seorang pemimpin yang boleh diterima oleh semua, dalam PAS dan luar PAS. Beliau seorang peka dengan isu orang Melayu, bukan Melayu, dalam PAS dan luar PAS,” kata Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.
Apa pun tempias kesan pemilihan pusat juga dirasai di peringkat negeri. Impaknya sudah pasti akan disaksikan.
Yang pastinya kedua-dua Pakatan Rakyat dan BN akan cuba menikmati manfaat daripada perkembangan terbaru di peringkat Selangor dalam pilihan raya umum ke-13.-M'insider
Pas Selangor tak payah terkejut.Ini perkara biasa berlaku pertukaran pimpinan.Kalau kita boleh buang orang , orang pun boleh buang kita.
Lagi kebajikan cara Umno, diskaun untuk orang kaya
Seorang pengarah syarikat memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa dia menjual banglo dan dua bidang tanah kepada bekas menteri besar Dr Mohd Khir Toyo pada harga RM3.5 juta meskipun ia dibeli dengan harga RM6.5 juta kerana bimbang dengan nasib perniagaannya di Selangor.
Pengarah Ditamas Sdn Bhd Shamsuddin Haryoni yang menyambung keterangan hari ini selepas ditangguhkan minggu lalu kerana kurang sihat berkata, Dr Khir telah menolak tawarannya antara RM5 dan RM5.5 juta, sebaliknya mahu membeli hartanahnya di Seksyen 7 itu dengan hanya RM3.5 juta.
“Kami ada projek di Selangor, bisnes di Selangor dan menteri besar mahu membeli rumah saya dengan harga RM3.5 juta,” kata Shamsuddin di Mahkamah Tinggi hari ini.
“Jadi, kami bersetuju. Saya risau kedudukan saya sebagai ahli perniagaan dan saya bimbang bisnes saya akan tergugat,” katanya lagi.
“Saya tak sangka harga yang ditawarkan (Dr Khir) rendah. Saya ingatkan (Dr Khir runding) dalam RM5 juta hingga RM5.5 juta.
“Setelah berbincang dengan isteri saya, saya bersetuju untuk jual dengan harga itu memandangkan dia menteri besar Selangor. Kalau saya tak terima, saya khuatir status saya sebagai ahli perniagaan akan terjejas,” katanya.
Selain itu beliau berkata, rumah tersebut juga dibeli olehnya kerana tiada pilihan. Katanya, selepas Datuk Sumadi Ismail, yang juga saksi pendakwaan menolak untuk membeli rumah tersebut, beliau diminta Dr Khir untuk beli rumah itu.
“Saya mendapat tahu, selain saya, Datuk Khir juga berminat untuk membeli rumah tersebut. Selepas itu, ada beberapa perbincangan antara saya, Datuk Sumardi dan Datuk Khir.
“Datuk Khir menyuruh Datuk Sumardi membeli rumah tersebut, tetapi beliau tidak boleh kerana ada komitmen lain. Kemudian Datuk Khir menyuruh saya pula membeli rumah tersebut,” katanya.
Selain itu, ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, mengapa beliau bersetuju untuk membeli rumah tersebut, katanya, “saya seorang ahli perniagaan di Selangor yang mempunyai banyak projek hartanah.”
“Bila menteri besar menyuruh saya membelinya, saya tak ada pilihan. Saya perlu membelinya,” katanya.-M'insider.
Diskaun untuk si kaya sebab dapat projek.Kalau bagi diskaun pada rakyat marhaen, rakyat miskin tak dapat apa kosong.Ini kebajikan cara Umno, berlegar di kalangan orang kaya, orang besar.Ada pi ada mai..ada masyuuuk.Subsidi untuk rakyat kena potong subsidi untuk pengeluar tenaga bebas dirahsiakan.Subsidi minyak diesel untuk nelayan kena potong.Ikan naik harga 30 peratus pengguna jadi mangsa.Nelayan mogok BN ugut tarik lesen.
Kepada orang Melayu yang masih kelam dan kabur, masih berkarat dengan Umno cuba tengok -tengok dengan tokoh Melayu-Jawa di atas yang pernah dabik dada kata pejuang bangsa.
Isnin, 13 Jun 2011
Menyampah tengok dua mangkuk hayun ulas isu Bersih 2.0

Bila tengok dua mangkuk hayun ni yang jadi budak upahan Umno untuk ulas isu himpunan aman Bersih 2.0 9 Julai ada orang rasa nak termuntah mendengarnya.Ada yang kata , "Aku menyampah sungguh dengan si spek bulat dan si gigi jarang ni bila bercakap."
Si Zul Noordin (Klik apa RPK kata kat si spek bulat ni) kata , kenapa tak buat di Selangor..boleh buat dalam stadium sama macam cadangan Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein.Yang sorang lagi tu pun sama tumpang sekaki dok ulas isu himpunan Bersih.Umno dah macam tak ada kudrat nak harapkan pemimpin Umno bercakap bagi pihak Umno hingga terpaksa guna dua mangkuk hayun ni sebagai jurucakap mereka.
Dua mangkuk hayun ni hanya laku bila ada isu libatkan PR kalau tak muka tak keluar tv 3 suku.Tambah lagi sorang si Brahim Ali Tok Ayah Perkasa yang bercakap besar walaupun baru keluar wad akibat sakit jantung.Cakap berdegar degar macam taik kerbau jatuh, langit pun boleh runtuh bila bercakap tapi zero!
Puak-puak mangkuk hayun ni kena jilat muntah Umno banyak-banyak kot-kot dapat jadi calon Umno sebagai talian hayat mereka dalam pru 13 akan datang.
Ilmu apa Tim Pres Pas pakai sampai Umno suruh buang perkataan Islam pada Pas?
Kata orang 'tak tumbuh tak melata tak sungguh orang tak kata'.Umno kata kat Pas Pas kata kat Umno ini perkara biasa dalam politik.Kelmarin PM Najib pun kata politik adalah persepsi.Tapi tang buat sungguh adakah juga persepsi?Sebagai contoh Umno rembat saham RM52 bilion untuk orang Melayu dan bumiputera adakah persepsi atau realiti?Sampai hari ni pemimpin Umno diamkan isu saham ini tak berani buka mulut.Sebab apa ?Tak lain tak bukan kerana Umno lah yang jadi tukang pelingkup hak Melayu.Ini yang dikatakan kebajikan cara Umno .Kini Umno dok geram tak habis-habis lagi dengan kabinet baru Pas yang terdiri daripada golongan ustaz , aktivis dan profesional.Satu gabungan yang menakutkan Umno.Tak percaya Umno takut?Kini Umno mainkan isu Pas tak lagi Islamik.Besa la musuh tradisi Pas ni mampoih Pas buat apa pun semua tak betoi, kalau Umno dok puji Pas meleret tu bukan Pas dah tu Umno!
Umno yang sesak nafas dengan kabinet baru Pas kini mahu Pas gugurkan perkataan Islam pada parti Pas.Zaman Tun Mahathir dulu Umno beria-ia sakan nak buang nama Islam pada pertubuhan Islam tapi tak dapat perkenan Majlis Raja-Raja.Risikonya amat besar jika perkataan Islam dibuang kepada pertubuhan Islam ini.Majlis-Majlis Raja-Raja pun tahu akibatnya.
Kini setelah Mat Sabu jadi Timbalan Presiden Pas , ditambah dengan kabinet baru Pas yang berbeza daripada dulu ,Umno cabar Pas hapuskan perkataan Islam pada parti Pas.Bagaimana kalau yang menang TP Pas itu ialah Tuan Ibrahim Tuan Man dan Nasharuddin Mat Isa?Adakah Umno akan desak supaya perkataan Islam dibuang pada parti Pas?Ini membuktikan Umno amat gusar dengan kemaraan Mat Sabu sebagai TP Pas ibarat halilintar membelah bumi!
Kata orang Pas kat saya,"Dulu Umno main cara kasar nak hapus perkataan Islam pada parti Pas tapi kini Umno dok pujuk Pas supaya londeh baju dan seluar sendiri dengan buang perkataan Islam pada parti Pas."
Sekarang apa saja yang dicakap Mat Sabu jadi berita utama media internet dan akhbar cetak.Media Umno dan puak Umno terpaksa korek dan gali apa saja yang ada kaitan dengan Mat Sabu untuk difitnah sebagai serangan balas.Hujah Mat Sabu Umno tak jawab tapi Umno cari makan dengan isu seks untuk jadi senjata berhujah.
Pas kini semakin segar hingga Umno terketar-ketar dengan kepimpinan baru Pas .
Baca juga;
Khalid Samad: Coretan Muktamar Pas ke 57.
Mat Sabu:Zaman sekolah pun orang akan ungkit-Malaysiakini
Pak Lah trauma Bersih 2007

Semua penentang himpunan aman Bersih pada 9 Julai depan pakat bagi komen negatif.Nelayan , petani dan peladang Umno tah dok ceruk mana pun kata himpunan aman Bersih boleh gugat keselamatan negara.Puak -puak ni kenal ka apa dia tu Bersih?Kalau tak kenal lebih baik suruh anak-anak buka internet tengok apa itu Bersih 2.0.Nada depa sama dengan mantan PM Pak Lah yang turut bagi komen kata himpunan aman Bersih boleh cetus rusuhan dan kekacauan.
Dulu demo Bersih 2007 masa tu Pak Lah adalah PM Malaysia.Selepas Demo Bersih 2007 pada tahun 2008 bulan Mac berlangsungnya pilihanraya umum ke 12.Akhirnya Umno-Bn hilang 5 negeri disapu bersih parti-parti pembangkang yang membentuk Pakatan Rakyat.Pak Lah juga akhirnya tersungkur sebagai PM Malaysia dan diganti pula oleh Najib.
Kini menjelang pilihanraya umum ke 13 himpunan aman Bersih muncul lagi dan dijangka dihadiri beratus ribu rakyat Malaysia yang mahukan keadilan dalam sistem pilihanraya .Hingga kini BN masih belum bertolak ansur tuntutan Bersih tapi bersikap ego layan Bersih 2.0.Antara tuntutan Bersih 2.0 ialah;
Tuntutan perhimpunan tersebut adalah:
-Bersihkan senarai undi
-Mereformasikan undi pos
-Gunakan dakwat kekal
-Akses media bebas & adil
-Masa berkempen minima 21 hari
-Kukuhkan institusi awam
-Hentikan rasuah
-Hentikan politik kotor
Terimakasih kepada semua yang report polis lagi banyak lagi bagus .Iklan jangan tak iklan.Daripada rakyat tak tahu dah jadi tahu apa itu Bersih 2.0
Kalau Umno-BN di pihak rakyat kenapa naikkan tarif elektrik?
Di sebalik desakan pelbagai pihak khususnya Pakatan Rakyat, Datuk Seri Najib Razak hari ini secara terbuka berkata, pentadbirannya berada di pihak rakyat dalam soal perjanjian belian tenaga dan perkara itu sedang dibincangkan dengan pengeluar tenaga bebas (IPP).
Perdana menteri juga menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa Putrajaya hanya mengutamakan kepentingan IPP memandangkan pihak berkenaan menikmati berbilion ringgit subsidi.
“Buat masa sekarang, IPP . . . kebanyakan formula mereka bukan lagi cenderung satu pihak. Kami sedang mengadakan perundingan dengan IPP tetapi tidak tepat untuk mengatakan kami memihak IPP,” katanya lagi.
“Kami membela rakyat. Kerajaan akan menjelaskan dengan lanjut mengenai IPP sebab kami masih mengadakan perundingan,” kata Najib, yang juga Menteri Kewangan kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Ampang di sini hari ini.
Justeru, presiden Umno itu berkata, kerajaan akan datang dengan satu kenyataan mengenainya tidak lama lagi.
Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mendesak pentadbiran Najib mendedahkan kandungan perjanjian konsesi IPP dengan TNB.
Kenyataan Najib ini muncul beberapa jam selepas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengumumkan bahawa Kabinet telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji pelbagai aspek termasuk isu IPP dan bekalan tenaga kepada negara pada masa depan.
“Jawatankuasa ini akan berbincang mengenai pelbagai aspek dan bukan masalah IPP semata-mata... antaranya ialah mengenai kos dan soal masa depan kerana terdapat di antara konsesi IPP akan tamat pada 2014 dan 2015.
“Kita turut membincangkan bagaimana untuk berhadapan dengan masalah ini di masa depan,” katanya mengulas kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang mencadangkan agar kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat konsesi IPP.
Syarikat-syarikat IPP dikatakan mengaut keuntungan berpuluh kali ganda daripada hasil pembekalan kuasa kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Dalam satu kenyataan dikeluarkan tengah hari tadi, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, sebuah suruhanjaya diraja diperlukan bagi mengkaji konsesi IPP dengan TNB dan juga untuk menentukan kesan sebenar ekoran kenaikan tarif elektrik, diesel, gula dan pemotongan subsidi pada kadar inflasi dan kenaikan harga barangan.
“DAP menyatakan sokongan penuh kepada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mencadangkan agar sebuah suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat kontrak antara TNB dan IPP.
“Suruhanjaya diraja ini akan menentukan sejauh mana perjanjian tersebut memberi beban kepada pengguna berikutan kenaikan tarif elektrik dan memperkenalkan langkah- langkah terbaik bagi mengurangkan atau menghindari beban kewangan yang teruk kepada rakyat,” kata Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.-M'insider
Ahad, 12 Jun 2011
Dr Rani Pesuruhjaya Pas Selangor yang baru, Cikgu Pa kekal SU
Mesyuarat pertama Jawatan Kuasa Kerja PAS Pusat yang dipengerusikan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, hari ini selesai membentuk kabinet penuh parti itu.
Ianya menyaksikan Datuk Mustafa Ali kekal sebagai Setiausaha Agung dengan dibantu tiga penolong setiausaha Datuk Takiyuddin Hassan, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Ahmad Sabki Yusuf.
Jawatan Bendahari pula bertukar kepada Datuk Abdul Halim Abd Rahman manakala Dr Mohd Hatta Ramli yang sebelum ini penyandang jawatan itu diberi amanah sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat.
Ketua Penerangan pula akan dipegang oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Bagi jawatan AJK PAS yang dilantik pula, mereka adalah Nasharudin Mat Isa, Idris Ahmad, Asmuni Awi, Anuar Tahir, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Zulkefly Mohammad Omar dan Abang Ahmad Kerdee Masagus.
Perkara itu diumumkan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada sidang media di Pejabat Agung PAS sejurus selesai mesyuarat pertama itu."Kita telah membuat perlantikan dan dipersetujui sebulat suara.
"Perlantikan ini berkuatkuasa serta merta dan setiausaha akan mengantar surat kepada mereka," katanya.
Bagi Pesuruhjaya PAS negeri pula menyaksikan lima negeri mengalami perubahan iaitu Terengganu- Abdul Wahid Endut, Negeri Sembilan- Mohd Taufek Abdul Ghani, Selangor- Dr Abd Rani Osman, Melaka- Adly Zahari dan Sabah- Aminuddin Halim.
Kesemua negeri lain bagaimanapun kekal seperti senarai berikut:
Kelantan- Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz
Pahang- Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Johor- Datuk Dr Mahfodz Mohamed
Perak- Ust Abu Bakar Husin
Kedah- Datuk Seri Azizan Abdul Razak
P.Pinang- Ust Salleh Man
Perlis- Ust Hashim Jasin
Wilayah Persekutuan- Ust Mohd Noor Mohamad
Sarawak- Ust Adam Ahid
Negara kebajikan:Umno tidak lena tidur
Dulu Umno dok takut buku Jingga Pakatan Rakyat.Minta rakyat jangan percaya.Rakyat hanya boleh percaya video seks saja tapi buku Jingga PR jangan percaya.Kini Umno kata Pas tiru Umno pulak nak buat negara kebajikan.Umno kata depa buat lama dah kebajikan.Cuba tengok kebajikan cara Umno semakin hari semakin tertekan rakyat akibat kenaikan harga barang secara mendadak.
Umno-Bn tak naik harga minyak Ron 95 tapi kerajaan kebajikan Umno -BN naikkan harga gula, naikkan tarif elektrik.Pusing kot mana pun kebajikan cara Umno-Bn rakyat yang kena.Kena apa ? Kena tipu dengan Umno-Bn yang bijak berkuntau lidah kata kerajaan dah tak larat tanggung subsidi.Rakyat kena tipu dengan Umno-Bn yang bersilat lidah kata harga barang dan petrol masih murah dengan negara maju dan serantau tiap-tiap kali berlaku kenaikkan harga barang pengguna.
Sabtu, 11 Jun 2011
Kes kematian Ahmad Sarbaini: SPRM cuba burukkan Ahmad Sarbaini kata Kit Siang
Bagi Umno, Pemuda Umno dan Perkasa pembelaan orang Melayu hanya jika libatkan Umno & Co saja.Melayu lain nak jadi apa pun itu depa punya pasal.Nak lingkup, lingkup pi la peduli apa janji kepentingan Melayu Umno jangan diusik..kalau usik depa sanggup mati , sanggup langkah mayat dulu, sanggup perang Sabil.
NGO Melayu ni sangup rebah terguling nak pertahankan ketuanan Umno daripada tumbang di Putrajaya daripada melihat keadilan ditegakkan untuk mangsa-mangsa yang terkorban akibat siasatan pihak berkuasa yang meragukan.
Kit Siang mahu Parlimen bahas kematian Sarbaini-M'insider
Lim Kit Siang mahu sidang Parlimen yang bermula minggu depan membahaskan isu kematian penolong pengarah Kastam Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed di premis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) April lalu.
Lim berkata beliau telah menghantar notis kepada Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia mendesak Parlimen membahaskan kematian kedua ketika siasatan SPRM dengan menumpukan kepada dakwaan terbaru dibuat editor portal Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin.
Raja Petra dalam tulisan dalam blognya berkata polis telah menyiasat aset Ahmad Sarbaini dan mendapati dia tidak memiliki “kekayaan luar biasa” seperti mana didakwa.
Beliau berkata SPRM cuba untuk memburukkan nama Ahmad Sarbaini ekoran kematian itu.
“Isu ini penting untuk dibahaskan di Parlimen dengan menumpukan kepada pendedahan dibuat Raja Petra Kamaruddin yang mana polis telah melakukan siasatan ke atas aset Ahmad Sarbaini tapi mendapati beliau tidak memiliki kekayaan luar biasa,” kata Lim.
Wakil rakyat DAP ini juga menggesa agar polis memenuhi hasrat keluarga Ahmad Sarbaini agar hasil siasatan didedahkan sebelum mengambil tindakan lanjut termasuk diadakan inkues atau suruhanjaya diraja.
“Polis sepatutnya dedahkan hasil siasatan kepada keluarga Ahmad Sarbaini dan membenarkan keluarga itu membuat keputusan sama ada mahu diadakan inkues atau suruhanjaya diraja bagi menyiasat punca kematian,” katanya.
Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat sebuah bangunan SPRM setelah dilapor pergi ke pejabat itu untuk bertemu pegawai penyiasat berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam.
“Jika Parlimen enggan berbuat demikian dan tidak mengambil peluang menunjukkan sikap ambil berat terhadap kematian Ahmad Sarbaini, ia akan menyebabkan rakyat hilang keyakinan kepada SPRM.
“Parlimen akan hilang peranannya sebagai sebuah platform politik tertinggi,” kata Lim yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur.
Kematian Ahmad Sarbaini merupakan kejadian kedua dalam dua tahun ini membabitkan premis SPRM.
Kes kematian Teoh Beng Hock, yang ditemui jatuh dari Plaza Masalam, yang menempatkan pejabat SPRM Selangor pada Julai 2009, masih disiasat oleh suruhanjaya diraja.
Minggu lalu, polis mengumumkan pihaknya akan meminta agar diadakan satu inkues dan idea itu dipersetujui oleh Peguam Negara.
Malah Lim juga ada mencadangkan agar Putrajaya terus mengadakan satu suruhanjaya diraja siasatan berhubung kematian Ahmad Sarbini berbanding inkues yang disyorkan polis.
Baca juga ;
Polis mahu inkues siasat kes kematian tiga remaja-M'insider
Insiden Glenmarie:Keluarga mangsa tolak inkues, gesa anggota polis didakwa-M'insider
NGO:Remaja ditembak semasa melutut -Malaysiakini